SOUTHERN VOLUNTEERS TERIMA SUMBANGAN PACUAN EMPAT RODA


Pacuan empat roda yang disumbang oleh UEM Sunrise Berhad dan Majlis Perbandaran Muar (MPM) bagi membantu memudahkan aktiviti logistik Southern Volunteers (SV).

 

ISKANDAR PUTERI — Pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) menerima sumbangan lima pacuan empat roda bagi membantu melancarkan gerak kerja logistik.

 

Daripada jumlah tersebut, empat pacuan empat roda disumbangkan oleh syarikat pemaju, UEM Sunrise Berhad manakala sebuah lagi daripada Majlis Perbandaran Muar (MPM).

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar berkata, sumbangan kenderaan tersebut berikutan kesungguhan SV dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan komuniti secara aktif.

 

“Mereka bagi sebab tengok kita dari segi gerak kerja kemasyarakatan itu aktif. Jadi mereka tahu kita bergerak atas pertubuhan dan melibatkan komuniti.

 

“Sekarang ada lima kenderaan. Kita akan gunakan untuk kerja-kerja yang melibatkan komuniti,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

On berkata, sumbangan tersebut diterima sepenuhnya selepas pasca banjir Johor pada bulan lalu, di mana gerak kerja logistik SV sebelum ini telah menggunakan kenderaan jabatan kerajaan negeri.

 

“Kebiasaannya kita banyak gunakan kenderaan-kenderaan kerajaan, bukan tiada kenderaan, tetapi kita pinjam daripada pejabat SUK.

 

“Apabila sudah ada kenderaan sendiri ini, kita boleh gunakan bukan sahaja di peringkat Ibu Pejabat SV, tetapi kita akan gerakkan untuk kegunaan kepada SV di peringkat daerah. Kenderaan ini kita baharu terima selepas pasca banjir, semasa banjir kita tidak sempat gunakan,” katanya.

 

Beliau turut memberitahu perancangan menambah kenderaan untuk digunakan dalam gerak kerja logistik pada masa akan datang, namun bergantung kepada penyumbang dan peruntukan diterima.

 

“Perancangan menambah lagi aset logistik ini bergantung pada pihak yang menyumbang, tetapi setakat ini lima buah pada saya sudah cukup baik.

 

“Kita kalau di peringkat ibu pejabat, untuk menggunakannya sudah cukup memadai. Kalau ada lebihan, kita akan bahagi untuk kegunaan SV di peringkat daerah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor