KUMPULAN PERTAMA JEMAAH HAJI JOHOR BERLEPAS KE TANAH SUCI ESOK


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pelepasan bagi kumpulan pertama itu dijangka turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Seramai 3,000 bakal jemaah haji di Johor akan berlepas ke Tanah Suci dengan penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) mulai esok.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pelepasan bagi kumpulan pertama itu dijangka turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Beliau turut menasihatkan kepada semua jemaah haji untuk menjaga kesihatan dan membuat persiapan secukupnya bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

 

“ Yang pasti keadaan di sana lebih panas dari biasa, maka sebarang masalah kesihatan sila rujuk segera dengan pihak tabung haji.

 

“Jangan nak pendam-pendam kalau ada sakit, kita nak ibadah yang sempurna. Rakan-rakan jemaah Johor turut sama akan membantu,” katanya dalam Sidang Media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) di Pusat Islam Iskandar, hari ini.

 

Mohd Fared berkata yang turut akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini, memaklumkan sudah mengambil langkah persediaan dengan mempersiapkan diri dan membuat pembahagian masa.

 

“Saya juga telah rujuk kepada pengalaman orang lama, pegawai kerajaan lain dan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebagai langkah persediaan saya, Insya Allah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor