BEKALAN HAIWAN KORBAN DI JOHOR MENCUKUPI


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip, berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor menerima permohonan hampir 6,000 ekor (haiwan ternakan) untuk sembelihan sempena Aidiladha, bulan depan | Foto MDJ, Sophie Razale.

 

PONTIAN — Bekalan ternakan haiwan korban seperti lembu, kambing, kerbau dan biri-biri dijamin mencukupi bagi umat Islam di Johor melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, bulan depan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip, berkata jumlah ternakan bagi penyembelihan ditentukan berdasarkan angka yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor.

 

“Untuk sambutan Aidiladha tahun ini, JPV Johor telah memaklumkan kepada saya bahawa pihak mereka telah menerima permohonan hampir 6,000 ekor (haiwan ternakan) untuk sembelihan. Jadi, setakat ini memang bekalan haiwan korban mencukupi dan pihak JPV sedang mengeluarkan surat kebenaran kepada hampir 170 rumah sembelihan sementara dengan 123 daripadanya telah pun lulus.

 

“Kita faham jumlah ini tidak boleh ditampung oleh 15 pusat penyembelihan sedia ada di Negeri Johor. Sebab itu, pihak JPV akan mengeluarkan surat kebenaran kepada mereka (rumah sembelihan sementara) untuk membantu melancarkan program korban pada tahun ini,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor, di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Zahari menghadiri majlis penyerahan set peralatan bagi rumah penyembelihan dilesenkan di Mujer Javanese Farmhouse dekat Kampung Sri Bunian di sini, hari ini.

 

Pada majlis itu, tiga buah rumah penyembelihan di Johor menerima set peralatan seperti kotak sembelihan, ruang pemprosesan karkas dan ruang eviserasi (melapah) melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM860,000.

 

Sementara itu, Pengusaha rumah penyembelihan Mujer Javanese Farm, Zamalullail Sawal, berkata usahanya selama ini dalam menjalankan operasi rumah penyembelihan akhirnya membuahkan hasil apabila mendapat bantuan daripada JPV.

 

“Alhamdulillah, selama ini kita dah berusaha, naik taraf gunakan modal sendiri, hari ini baru dapat bantuan dari JPV. Sebelum ini, pernah mohon bantuan, akhirnya hari ini rumah sembelihan saya dibekalkan mesin untuk tumbangkan lembu, serta mesin untuk melapah.

 

“Kami hanya ada lima orang pekerja di sini dan selalunya proses penyembelihan seekor lembu akan memakan masa hampir sejam. Tetapi dengan bantuan yang kami terima, InsyaAllah proses lebih pendek iaitu sekitar 20 minit sahaja,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor