JOHOR PERTINGKAT CAPAIAN INTERNET PANTAS PERCUMA


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir melancarkan Perkhidmatan WiFi Premium Maju Johor dan merasmikan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor melancarkan perkhidmatan WiFi Premium Maju Johor bagi menaik taraf capaian internet di negeri ini, sekali gus membolehkan Bangsa Johor menikmati akses internet pantas dan meluas di beberapa lokasi menjelang Julai ini.

 

Inisiatif terbaharu Kerajaan Johor itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 12,000 keluarga terutamanya di 25 kawasan hotspot Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan kadar kelajuan pada tahap 2gbps. Fasiliti sama juga turut disediakan di premis perkhidmatan kerajaan seperti Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru dan Pejabat Tanah Daerah Kulai.

 

Tidak mengetepikan sektor pendidikan yang menjadi tunjang utama kemajuan Negeri Johor, Kerajaan Negeri akan turut menyediakan kemudahan internet pantas yang akan diperluaskan ke institusi pendidikan seperti Kolej Universiti Islam Sultan Ibrahim (KUIJSI), Johor Bahru dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di Kulai.

 

Pada masa sama, WiFi Premium Maju Johor juga akan dipasang di Hospital Sultanah Aminah (HSAJB), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir melancarkan Perkhidmatan WiFi Premium Maju Johor dan merasmikan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Hadir sama ialah Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Sri Dr Hj Zulkifeli Mohd Zin, Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia dan Mohd Farid Hassan, Setiausaha Bahagian ICT@Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor