LARANGAN JADIKAN MASJID TEMPAT SEBAR, BINCANG POLITIK


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid | Gambar Arkib.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) memberi amaran dan melarang mana-mana individu atau ahli politik menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran atau perbincangan hal ehwal politik.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penganjuran program berbaur politik di dalam masjid tidak boleh dilaksanakan.

 

Menurut beliau, pihak yang berkompromi membenarkan pelaksanaan program berunsur politik juga akan diambil tindakan.

 

“Masjid dan surau kini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang tidak sensitif apabila program-program keagamaan dicampuradukkan kandungannya dengan unsur politik sehingga menyebabkan salah faham dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

 

“Dalam situasi lain, ada juga yang berselindung di sebalik program keagamaan dengan menggunakan pentas ceramah, kuliah atau syarahan di masjid untuk menyelitkan unsur-unsur fitnah dan menyebarkan fahaman politik tertentu.

 

“Perkara ini saban tahun telah diperingatkan oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor yang menegaskan bahawa kesucian dan ketinggian martabat mana-mana masjid dan surau di negeri ini, perlu dikekalkan tanpa dicemari dengan apa jua program atau aktiviti berkaitan penyampaian ideologi politik,” katanya, hari ini.

 

Mohd Fared berkata, aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, perkongsian ilmu agama atau lain-lain perlulah mendapat tauliah kebenaran serta kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ).

 

“Penceramah atau tenaga pengajar yang menyampaikan ceramah dan perkongsian ilmu juga perlu mendapat pentauliahan dan pengiktirafan rasmi oleh MAIJ terlebih dahulu.

 

“Keputusan kelulusan daripada MAIJ menjadi keutamaan dan penekanan berhubung isu larangan ceramah politik di dalam masjid perlu diberikan perhatian serius,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, menjadi harapan MAIJ agar umat Islam di negeri ini, dapat mengimarahkan masjid atau surau dengan pelbagai aktiviti dan program pengisian agama mengikut garis panduan ditetapkan, serta akan dapat memperkuatkan perpaduan ummah.

 

“Menjunjung titah DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Pengerusi MAIJ, selaras dengan Seksyen 96 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, maka mesyuarat MAIJ Bilangan 254 bertarikh 10 Jamadil Akhir 1444 Hijriah bersamaan 17 Januari 2023 Miladiah adalah dengan ini membuat keputusan berikut,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor