KERAJAAN NEGERI TEKAD TINGKAT PELABURAN: MENTERI BESAR JOHOR


Kerajaan Johor bertekad untuk meningkatkan lagi pelaburan di negeri ini, susulan prestasi memberangsangkan direkodkan pada tahun lalu | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bertekad untuk meningkatkan lagi pelaburan di negeri ini, susulan prestasi memberangsangkan direkodkan pada tahun lalu.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan harapan semoga Johor dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang dapat menyumbang kepada pembangunan negeri, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi Bangsa Johor di masa hadapan.

 

Terdahulu, beliau menerima kunjungan pengurusan tertinggi Kumpulan Dialog Bhd (Dialog), antara syarikat terkemuka minyak dan gas serta petrokimia.

 

“Sumbangan Dialog amat signifikan dalam ekonomi Johor, terutama sekali melalui pelaburan bernilai RM14 billion untuk pembangunan Terminal-Terminal Laut Dalam Pengerang dari tahun 2011 sehingga 2021.

 

“Alhamdulillah, saya difahamkan mereka akan menyediakan pelaburan tambahan sebanyak RM700 juta melalui tiga fasa, telah disediakan untuk pembangunan fasiliti perkhidmatan di Pengerang, Johor, melalui Morimatsu Dialog (Malaysia) Sdn. Bhd. (MDMSB),” kata beliau.

 

Selain itu, Onn Hafiz berkeyakinan kerjasama tersebut bukan sahaja dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan malah akan meningkatkan pemindahan teknologi dan ilmu kepada syarikat serta pekerja tempatan.

 

Untuk rekod, Negeri Johor mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM63.9 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2022, iaitu hampir 33 peratus daripada angka pelaburan nasional direkodkan, RM193.7 bilion.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor