BRAJ@PASAR TANI KEKAL DATIN HALIMAH TERIMA SAMBUTAN
JOHOR BAHRU — Program Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, di sini, menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat mendapatkan barangan segar, produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta runcit pada harga berpatutan.
Berlangsung jam 7 pagi hingga 1 petang, program tersebut telah dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah.
Lebih menarik, BRAJ anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor di Pasar Tani Kekal Datin Halimah itu bermula dengan jualan ‘Kombo Madani’ dengan tawaran seekor ayam segar dan telur ayam sepapan pada harga RM15.
Mohd Hairi memuji inisiatif FAMA Negeri Johor menganjurkan program berkenaan yang menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui penawaran barangan komoditi terpilih.
“Program membuktikan kerajaan konsisten untuk membantu rakyat apatah lagi dalam masa hari ini, fenonema kenaikan harga barang berlaku di setiap negara tidak terkecuali Malaysia berikutan krisis ekonomi global yang tidak stabil.
“Saya lihat apa yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri melalui FAMA ini juga secara tidak langsung membantu usaha-usaha meningkatkan pendapatan usahawan tani,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program berkenaan, pada Jumaat.
Turut hadir, Pengarah FAMA Negeri Johor, Mohd Faidz Afizi Mohamed.
Penganjuran program BRAJ turut mendapat sokongan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Tumpuan produk jualan melibatkan produk basah iaitu sayur, buah, ayam, daging dan ikan diikuti produk kering seperti gula, minyak masak, tepung dan beras serta produk IKS dan nurseri antaranya pokok bunga, herba dan benih pokok.
Program BRAJ yang bermula pada 25 Februari hingga 15 Jun 2023, sudah dilaksanakan di 23 lokasi terpilih di seluruh Johor dengan penglibatan 850 usahawan dan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM2.5 juta serta memberikan manfaat kepada lebih 30,000 pengguna.
Selepas Johor Bahru, BRAJ akan diadakan di Tangkak (Pasar Tani Kekal Bukit Gambir pada 24 Jun), Kluang (Simpang Renggam pada 27 Jun), Batu Pahat (Pasar Tani Ayer Hitam pada 28 Jun) dan Segamat (Pasar Tani Taman Yayasan pada 28 Jun).
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor