LIMA LRA BERISIKO TERJEJAS AKIBAT EL-NINO DIKENALPASTI – EXCO JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata langkah-langkah mitigasi serta persiapan rapi telah dirangka bagi mendepani fenomena kemarau El-Nino | Foto MDJ Nur Khairiah Nazirah Mohd Zaidi.

 

JOHOR BAHRU — Lima Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini dikenalpasti berisiko terjejas susulan fenomena kemarau El-Nino yang dijangka berlaku antara Mei hingga Julai ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kelima-lima LRA tersebut LRA Lok Heng dan LRA Sungai Gembut di Kota Tinggi; LRA Bukit Batu (Kulai), Loji Sultan Iskandar (Johor Bahru) serta LRA Tenglu (Mersing).

 

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan langkah-langkah mitigasi selain persiapan rapi telah dirangka bagi mendepani fenomena itu agar tidak menjejaskan lebih sejuta pengguna di sekitar kawasan terbabit.

 

“Kita telah membuat beberapa tindakan (awal) dan beberapa projek juga telah siap dilakukan. Cuma untuk langkah berjaga-jaga kita telah letakkan beberapa pam contohnya di Sungai Johor, Sungai Tiram, Tasik Biru Seri Alam serta projek pemindahan air mentah dari Sungai Lukah membabitkan 10 juta meter padu sehari ke LRA terjejas.

 

“Status bekalan air di LRA tersebut tidak kritikal namun diletakkan sebagai ‘hotspot’ yang dijangka terkesan jika berterusan (cuaca panas),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Johor Corporation (JCORP) di sini, hari ini.

 

Menurutnya, paras air pada LRA yang telah dikenalpasti boleh berkurangan secara mendadak ke tahap kritikal sekiranya cuaca panas berterusan sehingga Julai tanpa taburan hujan berlaku di kawasan berkenaan.

 

Sementara itu, Mohamad Fazli memaklumkan, perbincangan bersama pihak Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) telah dilakukan mengenai keperluan menggunakan kaedah Pembenihan Awan bagi menampung bekalan air di beberapa empangan yang semakin berkurang.

 

“Saya telah berbincang bersama pihak BAKAJ mengenai proses pembenihan awan, cuma yang menjadi kerisauan adalah tentang situasi angin di Johor andai pembenihan awan dilakukan, kita khuatir ianya tidak turun ke kawasan empangan seperti yang diharapkan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor