SISTEM PERKHIDMATAN BAS, RUANG MENUNGGU PERLU DITAMBAH BAIK


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berbincang berkaitan sistem perkhidmatan bas dan ruang menunggu penumpang yang perlu ditambah baik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) | FOTO IHSAN: FB Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI — Syarikat operator bas diminta mengadakan perbincangan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menangani isu perkhidmatan bas di pintu sempadan negara, di negeri ini.

 

Antara pihak terlibat adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan semua yang berkaitan.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sistem perkhidmatan bas dan ruang menunggu penumpang perlu ditambah baik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

“Laluan motosikal dan kereta semakin baik di CIQ BSI dan KSAB. Namun begitu, sistem perkhidmatan bas dan ruang menunggu penumpang perlu ditambahbaik. Antara isu dan cadangan penyelesaian jangka masa pendek yang dibincangkan adalah pertama, menambah bilangan perkhidmatan bas bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh masa menunggu. Kedua, menambahbaik sistem perkhidmatan bas.

 

“Ketiga, memasang ‘industrial fan’ di ruang menunggu penumpang. Dan keempat, pihak JPJ perlu memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap perkhidmatan bas supaya ia sentiasa dalam keadaan terbaik dan mematuhi piawaian operasi yang ditetapkan,” katanya dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengadakan tinjauan keadaan laluan bas di CIQ BSI.

 

Onn Hafiz menzahirkan harapan semoga usaha menerusi perbincangan dan kerjasama itu dapat mengurangkan kesesakan dan memberi sedikit keselesaan kepada semua pengguna di Kompleks CIQ BSI dan KSAB.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor