L’ETAPE JOHOR MARTABAT JOHOR SEBAGAI HAB PELANCONGAN SUKAN


L’Etape Johor 2023 mampu memertabatkan Johor sebagai hab pelancongan sukan di negara ini, dan Asia Tenggara. | FOTO : Syafiq Tayeb

 

ISKANDAR PUTERI — Penganjuran L’Etape Johor mampu memartabatkan Johor sebagai hab pelancongan sukan di Malaysia dan juga Asia Tenggara kerana lokasi yang strategik berdekatan dengan Singapura serta Indonesia.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pada masa sama, kerajaan negeri mahu peserta L’Etape Johor bukan sahaja datang ke negeri ini, untuk berbasikal malah merasai budaya tempatan.

 

“Saya percaya pada tahun ini, L’Etape Johor dapat mengekalkan reputasinya sebagai salah satu acara berbasikal beramai-ramai yang paling ikonik.

 

“Kita telah meletakkan ‘benchmark’ pada tahun lepas dan saya pasti dengan usaha bersepadu semua, kita mampu melakar satu lagi kejayaan pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran L’Etape Johor 2023 selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor di Velodrome Johor, di sini, hari ini.

 

Mohd Hairi berkata, L’Etape Malaysia 2022 merupakan salah satu acara sukan besar pertama diadakan di Johor sejak pembukaan semula aktiviti sosial daripada pandemik COVID-19.

 

Ujarnya, L’Etape Malaysia di Johor pada tahun lalu berjaya menarik lebih 4,700 peserta dan menjadi penganjuran kedua terbesar di dunia oleh Tour De France.

 

“Ini menunjukkan terdapat daya tarikan yang tinggi khususnya Negeri Johor itu sendiri dan kita yakin bahawa edisi tahun ini mampu melakar satu lagi peristiwa bersejarah selain dapat menarik lebih ramai lagi peserta dari serata dunia.

 

“Saya difahamkan seramai 2,500 peserta telah mendaftar dan berdasarkan rekod tahun lepas, saya pasti penganjur akan mencapai sasaran 6,000 penyertaan pada tahun ini,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut mengingatkan penganjur untuk mengambil maklum pandangan serta cadangan disuarakan peserta dan orang ramai mengenai penganjuran edisi sebelum ini.

 

“L’Etape Johor 2023 akan dianjurkan dengan peningkatan aspek keselamatan bagi menambahbaik pengalaman keseluruhan peserta termasuk cip pemasaan yang canggih dan pasukan teknikal yang komprehensif untuk menyokong sistem penilaian.

 

“Semua perubahan ini dibuat dengan mengambil kira maklum balas pada tahun lepas termasuk menekankan kepentingan keselamatan orang ramai khususnya peserta,” katanya.

 

Perlumbaan L’Etape Johor 2023 akan berlangsung pada 8 Julai ini, merentasi laluan sejauh 140 kilometer yang bermula dan berakhir di Desaru.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor