LINDUNGI ‘SI MANJA’ KETIKA AIDILFITRI


Gambar hiasan.

 

Setelah sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, kini menjelma pula Syawal yang disambut penuh kegembiraan dan kesyukuran bersama keluarga tercinta dan sahabat handai.

 

Aktiviti kunjung mengunjung menjadi titik pertemuan bagi yang lama terpisah dan jarang ditemui sekali gus menjadi platform bertanya khabar serta saling bermaafan antara satu sama lain.

 

Bagaimanapun, dalam keseronokan menyambut Aidilfitri, jangan kita sesekali lupa memberi perhatian terhadap keadaan kesihatan anak masing-masing terutama yang masih bayi.

 

Pada masa kini, selain COVID-19 terdapat penyakit lain yang mudah dijangkiti ‘si kecil’ apabila berada dalam perkumpulan kanak-kanak atau di tempat keramaian ketika lebaran.

 

Bagi Dr. Wang Kher Dee, kanak-kanak merupakan golongan yang mudah jatuh sakit terutama ketika berada di kawasan sesak kerana sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan yang masih lemah.

Dr. Wang Kher Dee, Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pakar KPJ Johor.

 

Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Johor itu memaklumkan antara penyakit berjangkit yang perlu waspada adalah influenza, Respiratory Syncytial Virus (RSV), penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta cirit-birit.

 

Penyakit respiratori atau pernafasan kebiasaanya berjangkit melalui udara, manakala HFMD dan cirit birit senang merebak melalui sentuhan dengan permukaan yang tercemar.

 

Untuk bayi atau kanak-kanak, disyorkan untuk mendapatkan rawatan perubatan jika demam lebih tiga hari atau mencatatkan suhu badan yang tinggi dengan ubat, kurang minum air menyebabkan kurang buang air kecil (dehidrasi), bernafas laju dan kurang aktif.

 

 

Sebagai langkah pencegahan juga, Dr. Wang Kher Dee mengesyorkan ibu bapa agar sentiasa menjaga kebersihan tangan sendiri dan ‘si manja’ pada setiap masa, dengan basuh tangan sama ada sebelum dan selepas makan atau ke tandas.

 

Pemakaian pelitup muka juga adalah perlu untuk yang kurang sihat atau melancong ke tempat sesak, bekalkan ubat jika anak demam dan elakkan suhu badan mereka lebih 39 darjah celsius yang boleh menyebabkan demam sawan.

 

Selain itu, beliau memberitahu penggunaan pensanitasi tangan merupakan cara paling mudah dan efektif untuk nyahkuman sama ada ketika berkunjung atau menerima kunjungan tetamu ketika lebaran.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor