SAFIQ RAHIM PULA DISERANG


Kenyataan media Alistair Edwards, Ketua Pegawai Eksekutif JDT di laman sosial rasmi Johor Southern Tigers (JST). | Foto Ihsan JST

 

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meluahkan kebimbangan apabila pemainnya Safiq Rahim menjadi mangsa serangan terbaharu membabitkan pemain bola sepak di negara ini.

 

Ia berikutan kereta milik pemain tengah berpengalaman dan prolifik itu mengalami kerosakan akibat perbuatan khianat daripada individu tidak dikenali berhampiran Pusat Latihan JDT, malam tadi.

 

Justeru, Alistair Edwards, Ketua Pegawai Eksekutif JDT dalam kenyataan di laman sosial rasmi Johor Southern Tigers (JST), berkata pihaknya menggesa supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat perkara ini dengan kadar segera demi keselamatan Safiq dan pemain JDT yang lain.

 

Katanya, insiden terbaharu itu dikhuatiri mempunyai kaitan rapat dengan siri serangan terhadap pemain bola sepak sebagaimana yang berlaku kepada pemain TFC, Akhyar Rashid dan penyerang Selangor FC, Faisal Halim baru-baru ini.

 

Ujar tokoh bola sepak dari Australia itu, perbuatan tidak bertamadun seumpama itu sememangnya tidak harus mempunyai tempat dalam dunia bola sepak.

 

“Disebabkan kes-kes terkini, JDT telah meningkatkan lagi keselamatan para pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga.

 

“Kami juga telah menasihatkan para pemain kami untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran mereka pada media sosial pada setiap masa,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor