MBJB KUTIP 73.79 TAN SAMPAH DI SUNGAI TEBRAU


MBJB juga menanggung kos sekitar RM86,000 bagi kerja pembersihan sungai berkenaan. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengutip 73.79 tan sampah di Sungai Tebrau sepanjang bulan lalu.

 

Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Noorazam Osman berkata, pihaknya juga menanggung kos sekitar RM86,000 bagi kerja pembersihan sungai berkenaan.

 

“Secara purata, sebanyak tiga pusingan pembersihan perlu dilakukan oleh MBJB pada setiap hari bagi mengelakkan Sungai Tebrau dari dipenuhi sampah sarap.

 

“Jika dihitung secara kasar, MBJB perlu memperuntukkan sebanyak RM1.03 juta setahun hanya untuk kerja-kerja memungut sampah di sungai ini, katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Sungai Tebrau (MBJB) 2035, di sini, pada Khamis. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha MBJB, Miswan Yunus.

 

Mohd Noorazam berkata, Sungai Tebrau mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebagai aset bernilai tinggi bagi sektor pelancongan yang turut diambil kira dalam kajian RKK tersebut.

 

“Pakej pelancongan semula jadi dan sukan air boleh diwujudkan bagi mempromosikan Sungai Tebrau sebagai salah satu produk pelancongan alam semula jadi di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru yang bersempadanan dengan Singapura.

 

“Ia sedikit sebanyak akan meningkatkan ekonomi penduduk setempat selain meningkatkan kualiti visual melalui projek pengindahan Sungai Tebrau yang telah dicadangkan di dalam RKK ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor