MEGA GERAK KERJAYA MYFUTUREJOBS JOHOR 2023 TERIMA SAMBUTAN MENGGALAKKAN
ISKANDAR PUTERI — Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 anjuran Kerajaan Negeri menerusi Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru mendapat sambutan menggalakkan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, program bermula sejak 2017 itu diteruskan pada tahun ini, bagi memastikan rakyat memperoleh pekerjaan bersesuaian.
Menurutnya, Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 menjadi landasan usaha mempromosikan peluang pekerjaan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan universiti serta golongan pencari kerja yang aktif.
“Selain itu, ia sebagai platform untuk majikan membuat pemilihan calon yang layak bagi mengisi kekosongan yang ditawarkan dengan mengadakan temu duga terus di lokasi program.
“Secara tidak langsung, membantu pencari kerja mendapat peluang temu duga yang lebih banyak dan dapat berinteraksi secara terus dengan pegawai sumber manusia dari setiap organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil rasminya, Pengerusi Jawatankausa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Mohd Hairi berkata, penganjuran Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 selama dua hari turut melibatkan rakan strategik antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) Berhad.
Ujarnya, program itu dapat membangunkan modal insan yang kompeten dan berprestasi tinggi serta memperkukuhkan kerjasama jaringan industri dalam menjadi sumber rujukan utama dalam pemilikan data tenaga kerja dan hal ehwal modal insan Negeri Johor.
“Program Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 melibatkan 33 majikan di bawah PERKESO dan JPDC dan saya yakin nama majikan yang hadir adalah tidak asing di kalangan pencari kerja serta pemain industri.
“Tahun ini penglibatan majikan terdiri daripada pelbagai sektor utama industri di Malaysia seperti minyak dan gas, pembuatan hotel dan pelancongan serta lain-lain. Diharapkan para majikan dapat menawarkan penempatan pekerjaan seterusnya akan mendapat tenaga kerja mahir yang memberikan manfaat dan kepentingan kepada semua pihak,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor