KHIDMAT KOMUNITI KELESTARIAN KUMPUL 466 KILOGRAM SAMPAH


Program anjuran SWM Environment dengan kerjasama Pejabat Canselori dan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu bertujuan menyokong Bulan Kesedaran Bumi 2023 dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kebersihan pantai. | Foto ihsan SWM Environment.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 466 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua jam menerusi Program Khidmat Komuniti Kelestarian dilaksanakan di Pantai Bukit Batu, Senggarang dekat Batu Pahat.

 

Program anjuran SWM Environment dengan kerjasama Pejabat Canselori dan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu bertujuan menyokong Bulan Kesedaran Bumi 2023 dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kebersihan pantai.

 

Menerusi satu kenyataan, SWM Environment berkata, program tersebut telah berjaya menarik penglibatan seramai 80 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan UTHM, SWM Environment dan penduduk sekitar Sungai Terus.

 

“Walaupun dalam keadaan cuaca yang mendung, ia tidak menghalang kami daripada meneruskan misi demi cinta dan kesantunan terhadap alam sekitar. Malah, sukarelawan juga dilihat begitu komited dan kami amat menghargai penglibatan mereka.

 

“Selain menjalankan kerja-kerja ‘plogging’ di pesisiran pantai, kami turut melakukan pengasingan sisa buangan atau ‘waste sorting’ bagi mengenal pasti jenis sisa yang banyak ditemui di pantai tersebut,” jelas kenyataan itu.

 

Program Khidmat Komuniti Kelestarian itu telah disempurnakan oleh wakil rasmi Pengarah Pejabat Canselori UTHM, Mohd Faisalluddin Abdul Aziz. Hadir sama, Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM, Prof. Madya Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad.

 

Selain itu, SWM Environment juga mempromosikan kutipan berganjaran Kitar Semula dikenali sebagai KITARecycle kepada sukarelawan dan penduduk setempat.

 

Menerusi inisiatif berkenaan, Ahli KITARecycle berpeluang menghantar barangan kitar semula sekali gus berpeluang mendapat mata ganjaran yang boleh ditukarkan kepada wang tunai.

 

“Kami menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan perkhidmatan kutipan barangan kitar semula untuk meraih pulangan yang ditawarkan menerusi program ini.

 

“Orang ramai juga diseru untuk meneruskan usaha menjaga kebersihan dan keharmonian pesisir pantai agar ekologi kita dipelihara dengan baik,” jelas kenyataan tersebut.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor