MENTERI BESAR JOHOR BERTEMU SHAH FIRDAUS


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan pertemuan bersama atlet berbasikal kelahiran Johor Muhammad Shah Firdaus Sahrom, semalam | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan pertemuan bersama atlet berbasikal kelahiran Johor Muhammad Shah Firdaus Sahrom, semalam.

 

Pertemuan tersebut membuka ruang atlet berasal dari Kampung Parit Setongkat, Muar itu berkongsi cerita dan perkembangan terkini dalam bidang sukan diceburi.

 

“Anak muda berasal dari Kampung Parit Setongkat, Muar ini kini berada pada kedudukan ke-lapan di dunia dan telah berjaya mengharumkan nama negara dan negeri di dalam pelbagai kejohanan.

 

“Ini termasuk kemenangan pingat emas bagi acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2021 dan pingat gangsa bagi acara serupa di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

 

“Beliau kini giat berlatih dan turut mensasarkan pingat emas pada sukan Olimpik yang akan datang,” kata beliau dalam Facebook rasminya.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Nor Syazlan Abd Razak.

 

Selain itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasakan pembangunan sukan bagi melahirkan lebih ramai atlet seperti Shah Firdaus yang berkebolehan mewakili Johor dan Malaysia.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor