SINERGI KERAJAAN JOHOR – UTM TERUS DIPERKUKUHKAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan pertemuan bersama delegasi Universiti Teknologi Malaysia | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus diperkukuhkan di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Beliau memaklumkan telah mengadakan pertemuan bersama delegasi universiti awam tersebut diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Azman Mokhtar dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

 

Menurutnya, pertemuan itu bagi berkongsi pandangan mengenai program strategik dan sinergi antara UTM dan kerajaan negeri.

 

“Antara inisiatif yang cukup dekat di hati saya ialah Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) iaitu projek komuniti perintis yang diilhamkan oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, bertujuan membantu golongan miskin bandar di negeri ini.

 

“Selain itu, perkongsian program Translational Research iaitu pihak UTM bersedia berkongsi dan menyumbang kepakaran staf dan penyelidik mereka mengikut bidang fokus kerajaan negeri.

 

“Program Johor Innovation Valley (JIVe) pula merupakan satu medium penghubung antara universiti dengan Kerajaan Negeri Johor untuk mengetengahkan inovasi, penemuan, idea dan penciptaan baharu supaya ia boleh dimanfaatkan oleh komuniti, industri dan kerajaan Johor,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz turut memberitahu sebanyak 65 projek bernilai lebih RM3.5 juta telah dilaksanakan sejak 2016 di seluruh negeri ini.

 

“Antara projek-projek tersebut adalah Muar Digital Johor, SME Halal Certification, Digital Enterprenuer, Talent Profiling, Molluscure, Public Transport Monitoring System, Aquaponics, My Toyyiban, Mersing Signature dan Solar Energy.

 

“Kerjasama antara kerajaan negeri dengan universiti tempatan telah lama wujud dan saya berbesar hati kerjasama ini dapat diteruskan,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh telah diminta mengadakan kerjasama berterusan bersama UTM agar manfaat daripada program dan inisiatif dilaksanakan dirasai seluruh Bangsa Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor