MISI ‘BANZAI’ JDT DI JEPUN


Esteban Solari dan Matthew Davies di sidang media pra perlawanan Liga Juara-Juara AFC, Kawasaki Frontale vs Johor Darul Ta’zim.

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi akan berhadapan dengan jaguh Jepun, Kawasaki Frontale bagi aksi kelima kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) hari ini.

JDT yang kini berada di tangga ketiga kini berkongsi enam mata dengan pasukan Ulsan Hyundai dari Korea Selatan yang dipisahkan dengan dua perbezaan jaringan gol. Justeru, kemenangan menentang Kawasaki Frontale hari ini adalah cukup penting bagi skuad JDT untuk mengutip tambahan 3 mata dan membuka peluang untuk layak ke peringkat 16 terbaik.

Pengendali JDT, Esteban Solari tampak yakin ketika ditemu bual pada sidang media pra perlawanan dengan mensasarkan kemenangan untuk membolehkan skuad Harimau Selatan terus kekal dalam saingan ACL.

“Kami mempunyai semangat juang tinggi dan kami mahu menang perlawanan ini, namun kami masih menghormati mereka sebagai lawan yang baik dan sukar,” ujar Esteban Solari di sidang media.

Pertahanan ampuh JDT, Matthew Davies menzahirkan rasa gembira terhadap segala layanan terbaik yang diterima sepanjang skuad JDT berada di Jepun dan menjelaskan kehadiran skuad JDT ke Jepun untuk berikan segalanya dan cuba membawa pulang keputusan yang positif.

“Semua tahu mereka adalah lawan yang kuat dan tidak akan mengambil mudah kerana kami tahu ianya satu perlawanan yang sukar. Seperti yang dikatakan jurulatih, ianya aksi yang penting buat kami dan ia ibarat perlawanan akhir,” jelas beliau.

Perlawanan ke-5 Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC antara Kawasaki Frontale dan Johor Darul Ta’zim akan berlangsung di Stadium Todoroki Athletics, Kawasaki pada jam 6 petang hari ini.

 

#SukanMDJ #MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor