MOHON PEMBANGUNAN PPR LARKIN DIMASUKKAN DALAM RMK-12


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor ketika ditemui pemberita pada Program Jom Turun@PPR di PPR Sri Stulang, Johor Bahru, hari ini.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor meminta Kerajaan Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbangkan permohonan pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) Larkin untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, PPR Larkin dicadangkan pembangunannya, memandangkan kawasan tersebut memiliki jumlah penduduk yang tinggi.

 

“PPR Larkin ini kita mohon pasal sebelum ini dalam RMK-12, Johor tidak mohon. Kali ini kita minta menteri yang baru untuk pertimbangkan permohonan PPR Larkin.

 

“Kita ada bagi dua cadangan (kos pembinaan), satu dalam RM100 lebih juta, dan satu lagi RM86 juta.

 

“Jadi kalau kerajaan (persekutuan) di bawah menteri yang baru ini boleh pertimbangkan, cuma itulah satu satu PPR yang kita mohon,” katanya kepada pemberita pada Program Jom Turun@PPR di PPR Sri Stulang, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, di peringkat permohonan, Kerajaan Johor sudah menyelesaikan perkara melibatkan dokumentasi, tanah dan isu-isu berkaitan berhubung pembinaan PPR Larkin.

 

“Cuma di peringkat KPKT (tinggal) luluskan bajet sahaja. Dari segi teknikal, kita (kerajaan negeri) sudah selesaikan. Jadi kita harap KPKT boleh mempertimbangkan perkara ini,” katanya.

 

Selain itu, beliau memberitahu sehingga kini terdapat enam PPR baharu sedang dalam pembinaan iaitu Pengerang Kecil, Ulu Tiram, Permas Jaya, Masai, Bandar Tenggara dan Sembrong.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor