NUR RAUDHATUL JANNAH DINOBAT IKON SISWA JOHOR 2023


Nur Raudhatul Jannah Abdul Rahman dinobatkan sebagai penerima Anugerah Menteri Besar Johor – Ikon Siswa Johor 2023. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat, Nur Raudhatul Jannah Abdul Rahman dinobatkan sebagai penerima Anugerah Menteri Besar Johor – Ikon Siswa Johor sempena Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2023.

 

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu turut berjaya merangkul Anugerah Siswa Johor Terbaik kategori Kepimpinan sekali gus membawa pulang hadiah berupa trofi berserta wang tunai keseluruhan bernilai RM3,000.

 

Raudhatul, 23, menyifatkan kejayaan tersebut bertitik tolak daripada pengorbanannya selama lima tahun bergiat aktif di kampus menerusi Gerakan Mahasiswa Anak Johor UiTM Segamat dan Duta Mahasiswa di bawah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

 

Anak keempat dari enam adik beradik itu mendedikasikan kejayaannya kepada ibu bapa yang menjadi tulang belakang sepanjang tempoh pengajian di universiti selain berterima kasih kepada YPJ atas dorongan, kepercayaan dan peluang diberikan selama ini.

 

Sementara itu, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) membawa pulang dua trofi iaitu Anugerah Program Terbaik Negeri Johor dan Anugerah Kesukarelawan Terbaik menerusi Projek ‘Miracle Al Quran’ yang menyediakan kelas pengajian Al-Quran dan Iqra’ kepada kanak-kanak di sekitar Johor Bahru.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas