KEJAYAAN JDT JADI MOTIVASI GADIS KRIKET JOHOR


Pasukan kriket Wanita Johor B19 muncul juara dalam Kejohanan Kriket Malaysia B19 Antara Negeri.

Pasukan kriket Wanita Johor B19 melakar kejayaan bersejarah apabila muncul juara pertama dalam Kejohanan Kriket Malaysia B19 Antara Negeri yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Lebih manis, kejayaan pasukan kriket terbabit hadir selepas mendapat suntikan semangat dan inspirasi daripada kejayaan luar biasa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam memenangi kejuaraan Liga Super untuk 10 musim berturut-turut.

Kombinasi ‘Johor Zealous’ yang membabitkan pengurus pasukan, Haikal Harith dan bekas pemain kriket kebangsaan, Azhar Zainal telah berjaya mendominasi semua pesaing mereka di kejohanan tersebut sekali gus memastikan tempat di perlawanan akhir pada Ahad lalu.

Terdahulu, pada pusingan awal liga menyaksikan pasukan Kriket Wanita Johor B19 berjaya menewaskan Negeri Sembilan dengan 53 larian sebelum menang dengan Perak (6 wickets); Selangor (8 wickets) dan layak ke perlawanan separuh akhir. Pasukan Kriket Wanita Johor B19 sekali lagi beraksi cemerlang apabila turut melakar kemenangan besar apabila mengatasi Selangor dengan 10 wickets dan seterusnya layak ke perlawanan akhir.

Pasukan bimbingan kombinasi ‘Johor Zealous’ ini meneruskan momentum apabila terus mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir dengan menundukkan Sarawak dengan kemenangan gemilang 10 wickets. Kemenangan ini sekali gus menjadi motivasi terbaik kepada skuad terbabit bagi menghadapi saingan Kejohanan Rentas Negeri T10 Wanita Senior minggu hadapan.

Lebih memberangsangkan, kejayaan Kejohanan Kriket Malaysia B19 ini turut meletakkan pasukan kriket Wanita Johor layak ke acara Kriket T10 Wanita temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 selepas melepasi kriteria sebagai pasukan Kategori A yang ditetapkan oleh MSNJ SUKMA 2024.

Presiden Johor Cricket Council (JCC), Dato Aviderjit Singh berbangga atas pencapaian ini. Menurutnya, kejayaan ini juga boleh dianggap sebagai ‘hadiah’ kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi.

 

#SukanMDJ #MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor