PELABUHAN TANJUNG PELEPAS LANCAR KERANGKA KELESTARIAN


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar bersama Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen menyempurnakan Pelancaran Hari ESG PTP, hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melancarkan sebuah kerangka sebagai panduan menyampaikan nilai mampan dengan integrasi amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam perniagaan terasnya.

 

Kerangka Kelestarian : Bersama Ke Arah Masa Depan Yang Mampan yang dilancarkan itu menterjemahkan komitmen berterusan PTP untuk terus memacu kemampanan dalam industri pelabuhan dan logistik.

 

Bagi tujuan tersebut, PTP menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment). Selain itu, PTP turut menandatangani ikrar bersama Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU dan ikrar berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar.

 

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad; Pengarah PTNJ, Taufik Bahar serta Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, PTP menandatangani ikrar terhadap Prinsip Kompak Global PBB sebagai komitmen dalam mewujudkan masa depan yang mampan bersama rakan kongsi strategiknya.

 

“MoU bersama PTNJ menyatakan bahawa PTP komited untuk menanam semula 160,000 pokok bakau di Tanjung Piai dalam tempoh lima tahun bagi melindungi hutan bakau dan biodiversitinya.

 

“Dalam memupuk budaya kitar semula pula, PTP bekerjsama dengan SWM Environment mewujudkan pusat kitar semula komuniti dengan objektif meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu alam sekitar,” katanya.

 

Neelsen berkata, kerangka itu membolehkan PTP mempamerkan penciptaan nilai secara sistematik, membimbing membuat keputusan yang sesuai dan perancangan strategik selain melaksanakan program pengurusan lebih baik.

 

“Bukan sahaja untuk pekerja PTP, tetapi kepada komuniti sekeliling sebagai sebahagian daripada ekosistem simbiosis, mewujudkan penglibatan pihak berkepentingan yang cekap serta memacu pengurusan risiko dan langkah mitigasi yang sesuai.

 

“PTP juga mahu untuk mewujudkan impak yang lebih besar melalui sumbangan kepada masyarakat dan komuniti. Ini termasuklah meneruskan usaha ke arah memperkasakan masyarakat, melindungi alam sekitar dan memartabatkan masyarakat melaluinya,” katanya.

 

Sementara itu, Raven Kumar memuji inisiatif dilaksanakan oleh PTP selain menyatakan kesediaan untuk mendukung segala usaha yang baik dilakukan oleh syarikat tersebut.

 

“Perkara penting adalah kelestarian yang hendak kita wujudkan. Jadi bila syarikat seperti PTP melakukan program kesedaran, kita sokong mereka. Sebab ia perlu bermula dari staf mereka.

 

“Kerana apabila bercakap mengenai alam sekitar, ia tidak hanya meliputi (peranan) pihak kerajaan sahaja (untuk menjaga), tetapi meliputi semua pihak. Kita mahukan persekitaran yang boleh kita wariskan kepada anak-anak kita, itulah (makna) kelestarian,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor