PELAJAR UTHM SANTUNI GELANDANGAN BATU PAHAT


Seramai 37 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyantuni golongan gelandangan di sekitar bandar Batu Pahat, baru-baru ini | Foto Ihsan, UTHM.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 37 pelajar dari Kursus Kokurikulum Berkredit Pembimbing Rakan Sebaya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyantuni golongan gelandangan di sekitar bandar Batu Pahat melalui program Sentuhan Kasih Gelandangan.

 

Sebanyak 30 bungkusan makanan telah diedarkan kepada golongan terbabit melibatkan beberapa lokasi antaranya terminal bas dan jalan-jalan di sekitarnya terutama di kawasan kaki lima serta deretan kedai.

 

Selain sebagai tanda prihatin universiti kepada komuniti, program tersebut turut mencapai matlamat yang termaktub dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu matlamat kedua (kelaparan sifar).

 

Pengarah Program, Amirul Sufian, berkata mereka mengambil keputusan untuk bergotong-royong menyediakan juadah nasi berlauk sebelum mengagihkan kepada gelandangan.

 

“Selain sebagai tanda prihatin, program ini memberi peluang kepada golongan tersebut menikmati makanan sihat dan berkualiti. Pelaksanaannya juga memupuk sikap prihatin pelajar terhadap golongan kurang berkemampuan sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi kami dalam menyantuni mereka.

 

“Program ini juga diharap dapat memberi contoh kepada penduduk setempat untuk berkongsi rezeki dengan golongan gelandangan berkenaan,” katanya.

 

Sementara itu, pengajar kursus, Khadijah Maulad Bahrol pula berkata, kejayaan program ini bukan sahaja hasil komitmen pelajar tetapi juga hasil sumbangan dan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

 

“Mereka menyumbangkan tenaga membantu pelajar menyediakan makanan selain memastikan keselamatan pelajar sewaktu pengagihan makanan dijalankan.

 

“Usaha ini juga merupakan sokongan moral kepada gelandangan agar mereka mendapat inspirasi untuk berusaha ke arah hidup yang lebih baik dan dapat membantu kerajaan mencapai hasrat Bandar Sifar Gelandangan,” tambah beliau.

 

Program Sentuhan Kasih Gelandangan itu turut mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan Setia Sejagat Batu Pahat dan IPD Batu Pahat selain melibatkan penyertaan tujuh anggota NGO dan lima anggota polis.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor