TAMBAH BAIK GARIS PANDUAN, TINDAKAN BERKAITAN LESEN HIBURAN


Bengkel Penambahbaikan Garis Panduan Lesen Hiburan Negeri Johor Tahun 2023 dianjurkan bagi menambahbaik panduan sedia ada, penguatkuasaan enakmen serta perbincangan isu-isu berkaitan lesen hiburan | Foto Ihsan, FB MKN Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor mengadakan Bengkel Penambahbaikan Garis Panduan Lesen Hiburan Negeri Johor Tahun 2023 pada 30 dan 31 Mei lalu.

 

Bengkel itu diadakan bagi mewujudkan platform perbincangan secara komprehensif bersama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan lesen hiburan di negeri ini.

 

“Bengkel ini bertujuan untuk menambah baik garis panduan sedia ada, penguatkuasaan enakmen dan membincangkan isu-isu berkaitan lesen hiburan supaya ianya seiring dengan peraturan-peraturan semasa yang berkuatkuasa dan kepesatan pembangunan di Negeri Johor,” jelas MKN Negeri Johor menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook.

 

Bengkel disertai pegawai dari Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Bahagian Kerajaan Tempatan Tempatan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Cawangan Khas IPK Johor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor.

 

“Sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan pengurusan lesen hiburan dibuat mengikut tatacara dan permohonan yang ditetapkan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998, adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk mewujudkan mekanisme pengawalan pemohonan Lesen Hiburan dan melaksanakan tindakan ‘intervention’ dan ‘troubleshooting’ ke atas isu yang timbul berkaitan Lesen Hiburan di Negeri Johor,” jelas MKN Negeri Johor.

 

Hadir menyempurnakan perasmian penutup bengkel adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Mohd. Noh Ibrahim.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor