PEMBANGUNAN PROJEK FOREST CITY LANCAR SEPERTI DIRANCANG
ISKANDAR PUTERI — Forest City komited meneruskan projek mega pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan dengan keluasan lebih 7,000 ekar sepertimana pelan induk yang diluluskan.
Rancangan jangka panjang Forest City untuk membangunkan sebuah pembangunan mampan di kawasan terbabit tidak pernah berubah meskipun pasaran hartanah global agak perlahan kesan pandemik COVID- 19.
Timbalan Presiden Serantau Forest City, Ir. Syarul Izam Sarifudin berkata, pihaknya tidak melihat sebarang keperluan mengubah perancangan sedia ada terutama untuk 10 tahun pertama iaitu 2015-2025.
“Syarikat masih optimis untuk membangunkan pulau buatan dengan hartanah sebagai perniagaan teras. Walau bagaimanapun, atas faktor luar jangka seperti pandemik COVID- 19 dan ekonomi global yang perlahan sememangnya memberi kesan dalam momentum pembangunan tersebut, namun ia tetap sepertimana perancangan pelan induk asal,” kata beliau dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Syarul berkata, fasa pertama antara tahun 2015 hingga 2020 merupakan perancangan menyiapkan kediaman dan beberapa infrastruktur serta ruang perniagaan bagi menampung penempatan sedia ada.
Menurutnya, manakala tumpuan bagi Fasa kedua iaitu 2020 hingga 2025 pula adalah mencari lebih banyak peluang pelaburan terutama dalam hab perdagangan, kewangan dan industri berteknologi tinggi.
“Syarikat juga sentiasa bersedia untuk menyemak serta menilai semula perancangan pembangunan Forest City selepas 2025 sekiranya ada keperluan semasa untuk berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Country Garden Malaysia dan Singapura, Chen Binghong berkata, Forest City mampu terus menyuntik momentum kukuh kepada pembangunan sosio-ekonomi Johor Bahru dan Malaysia keseluruhannya.
Ujarnya, pengumuman Singapura mengenai kenaikan duti setem kepada pembeli hartanah asing baru-baru ini, secara tidak langsung meningkatkan daya tarikan untuk melabur dalam pasaran hartanah Malaysia.
“Kami kekal lebih optimistik tentang prospek pembangunan untuk Forest City dan akan terus membina serta mencipta pengalaman hidup bandar yang luar biasa kepada pembeli,” katanya yang turut memberitahu Country Garden berbesar hati meraikan ulang tahun ketujuh Forest City pada tahun ini.
Country Garden selaku pemaju Forest City menyasarkan pembeli dari negara Asia seperti Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, Philipina dan juga Indonesia, di mana projek mega itu akan mempergiatkan promosi pada tahun ini, termasuk melantik lebih 100 ejen hartanah antarabangsa.
Selain itu, Forest City turut mengalu-alukan peniaga tempatan untuk menyewa unit kedai di Forest City berikutan kawasan berkenaan dikelilingi pelbagai sektor industri seperti pelabuhan, kilang, pentadbiran kerajaan dan sebagainya.
Sebanyak 28,000 unit kediaman telah disiapkan dengan fokus utama pemaju tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 1,400 ekar sepanjang tujuh tahun sejak projek Forest City dimulakan pada 2015.
Pembangunan di pulau buatan pertama itu sedang giat dijalankan dengan separuh daripada 1,400 ekar iaitu kawasan seluas 700 ekar, yang juga bersamaan 15 peratus luas keseluruhan projek Forest City telah dibangunkan.
Sehingga kini, Forest City memiliki dua hotel, dua padang golf bertaraf antarabangsa, kilang prefabrikasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia, sekolah antarabangsa Shattuck St. Mary Forest City serta taman air.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor