PERKONGSIAN STRATEGIK FOREST CITY TINGKAT KESALINGHUBUNGAN


Perkhidmatan bas (FC1) menawarkan pengalaman perjalanan lancar dari Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar ke Tuas, Singapura. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Forest City menjalin perkongsian strategik dengan Handal Indah Sdn. Bhd. bagi menyediakan perkhidmatan bas (FC1) berkuatkuasa hari ini, yang meningkatkan kesalinghubungan antara Forest City dan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, dekat Tanjung Kupang untuk ke Tuas, Singapura.

 

Perkhidmatan menerusi program ‘Park and Ride’ itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

 

Bermula awal jam 5.30 pagi hingga 8.30 malam dengan jeda masa selang satu jam antara perjalanan setiap hari, mereka yang berada di Forest City, Gelang Patah, Pontian dan kawasan sekitar boleh meletakkan kenderaan di hab pengangkutan Forest City secara percuma dan menggunakan perkhidmatan ini untuk ke Singapura.

 

Timbalan Presiden Forest City, Ir Syarul Izam Sarifudin memaklumkan program ‘Park and Ride’ menawarkan pengalaman perjalanan lancar kepada pengembara harian menerusi perkhidmatan bas malah menjadikan Forest City lebih mudah untuk diakses selari dengan perancangan dan keperluan kawasan pembangunan bercampur itu sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ).

 

Untuk rekod, Kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi komited menjayakan penubuhan SFZ di Forest City yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura dengan komitmen Kerajaan Persekutuan yang bakal memberikan faedah dan limpahan ekonomi ke seluruh negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor