10 USAHAWAN SELESAI JALANI KURSUS KEMAHIRAN ‘QUICK WIN’


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah Hadir meraikan kesemua usahawan yang selesai Kursus Kemahiran ‘Quick Win’ anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 10 usahawan tamat menjalani kursus dandanan diri bagi urutan ibu bersalin di Kolej Vokasional (ERT) Azizah di Jalan Datin Halimah, dekat Johor Bahru, semalam.

 

Hadir meraikan kesemua usahawan yang selesai Kursus Kemahiran ‘Quick Win’ anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

Mohd Hairi berkata, selain menjalani kursus, kesemua usahawan tersebut dibekalkan dan diberikan dengan kit urutan ibu bersalin bagi melaksanakan perkhidmatan sekali gus menjana pendapatan masing-masing.

 

“Saya lihat program anjuran KEMAS ini sangat bagus dan memenuhi objektifnya iaitu selain mewujudkan kesinambungan bidang kemahiran yang diperolehi di kelas kemahiran sedia ada, peserta boleh mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi ilmu kemahiran dan seterusnya berupaya menambah pendapatan.

 

“Ya mungkin ada yang kata 10 peserta jumlahnya agak sedikit, tetapi berdasarkan modul kursus untuk 15 jam ini lebih menjurus kepada kualiti dan hasilnya, malah ditambah lagi dengan pemantauan berterusan daripada pihak KEMAS, inisiatif ini dilihat memberi rantaian impak yang besar,” katanya.

 

Selain menyantuni usahawan terlibat, beliau turut menikmati juadah berpantang yang disediakan selain membantu mempromosikan jenama dan perkhidmatan ditawarkan iaitu urutan ibu mengandung.

 

Mohd Hairi mengalu-alukan inisiatif penganjuran kursus malah memaklumkan kepada pihak KEMAS memperkasa dan memperluaskan program dengan kerjasama Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor