PENGUMUMAN MENARIK DALAM BAJET 23 NOVEMBER INI: MB


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi bayangan ada pengumuman menarik akan dibuat dalam Belanjawan Johor 2024, November ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini memberi bayangan ada pengumuman menarik akan dibuat dalam Belanjawan Johor 2024 yang dibentangkan pada bulan hadapan.

 

Beliau meminta semua pihak supaya menunggu dan mengikuti pengumuman yang akan dibuat dalam pembentangan belanjawan negeri tahun hadapan, dijangka pada 23 November ini.

 

“Akan ada beberapa perkara menarik, perkara baharu yang saya akan umumkan dalam bajet akan datang untuk negeri, Insya Allah akan diumumkan pada 23 November. Ia akan meliputi ketersambungan pengangkutan, pelancongan dan juga perkara seperti Johor Selamat, Johor Bersih dan sebagainya,” kata beliau dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini.

 

Turut hadir, barisan EXCO Kerajaan Johor; Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani serta Pengerusi Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

 

Mengakui tidak mampu melakukan segalanya secara sendirian, Onn Hafiz memberitahu segala perkara yang ingin dilaksanakan demi kemajuan negeri ini, mesti disempurnakan secara bersama.

 

“Saya nak merayu kepada semua yang hadir pada hari ini, termasuklah penjawat awam, EXCO-EXCO (Kerajaan Johor) dan mereka yang berada dalam sektor swasta, marilah kita tidak sekadar melakukan kerja dengan baik. (Sebaliknya) marilah buat kerja dengan hebat. Kita tetapkan standard yang akan diukur oleh pihak lain,” kata beliau lagi.

 

Tambah Menteri Besar, beliau percaya bahawa Negeri Johor mempunyai potensi yang cukup besar termasuklah dalam sektor pengangkutan dan pelancongan.

 

Beliau turut memberi jaminan terutama kepada industri pelancongan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya komited untuk memastikan segala fasiliti berkaitan akan dinaik taraf dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

 

“Saya rasa itu cukuplah ‘teaser’ saya pada pagi ini. Insya Allah banyak lagi yang akan saya umumkan dalam ucapan bajet saya. Jadi kalau sesiapa nak tahu lebih, dengarlah ucapan bajet saya pada 23 November nanti,” kata beliau.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor