PROGRAM CFS TANGANI KONFLIK MANUSIA-HAIWAN LIAR


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB K. Raven Kumar merasmikan Program Showcase Projek CFS dan Bengkel Training Of Trainers (TOT) Bagi Pengukuhan Dan Promosi Pelan Induk Rangkaian Ekologi CFS (PIRECFS) 2022 Peringkat Negeri Johor. | Foto MDJ Hafez Zahar

 

Kerajaan Negeri komited melakukan pelbagai usaha bagi menangani isu konflik manusia dan haiwan liar terutamanya melibatkan harimau dan gajah melalui kerjasama erat antara Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

 

Perkara ini diterjemahkan melalui Projek Central Forest Spine (CFS) yang telah dilaksanakan sejak 2020 dimana pewartaan kawasan tanah Kerajaan seluas 438 hektar di daerah Kota Tinggi sebagai Santuari Gajah Johor (JES).Inisiatif itu juga diletakan di bawah pentadbiran dan pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), sekali gus menjadikan keseluruhan Hutan Simpan Panti sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya  di bawah rancangan Panti Conservation Area (PCA).

 

Lebih memberangsangkan, Kerajaan Negeri Johor turut menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan projek ‘Improving Connectivity in the Central Forest Spine Landscape (IC-CFS)’ dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) yang bertujuan menjayakan inisiatif CFS.

 

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB K. Raven Kumar hadir selaku wakil rasmi Menteri Besar bagi merasmikan Program Showcase Projek CFS dan Bengkel Training Of Trainers (TOT) Bagi Pengukuhan Dan Promosi Pelan Induk Rangkaian Ekologi CFS (PIRECFS) 2022 Peringkat Negeri Johor.

 

Turut diadakan penyerahan dokumen PIRECFS 2022 dan dokumen rancangan Pengurusan Rangkaian Ekologi CFS J-PL2: Hutan Simpan Panti-Hutan Simpan Ulu Sedili serta Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPNJ bersama Global Environment Centre (GEC).

 

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Zahari Ibrahim; Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman dan Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia), Dr. Alias Rameli.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor