JDT DAN UTM UTAMAKAN PENDIDIKAN PELATIH AKADEMI


Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara UTM & JDT FC di Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM Skudai.

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC) menjadi kelab bola sepak profesional pertama yang menjalinkan kerjasama dengan universiti bagi menjalankan program pengajian yang disertai oleh pemain bola sepak sepenuhnya. 

Majlis perjanjian persefahaman antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui UTMSPACE dengan JDT FC telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE, Profesor Ts Dr. Nazri Ali dan Pemangku Pengurus Besar JDT FC, Dato’ Haji Salehuddin Haji Hassan.

Inisiatif Pembangunan Program Akademik Baharu Diploma Sukan dan Kecergasan itu bertujuan untuk menyediakan laluan akademik kepada atlet khususnya pelatih akademi JDT bagi melanjutkan pengajian dalam bidang sukan dan kecergasan kepada masyarakat.

“Program Diploma Sukan dan Kecergasan yang dibangunkan ini merupakan manifestasi kepada hasrat yang disuarakan oleh pihak pengurusan JDT FC yang amat prihatin kepada masa depan dan hala tuju para pelatih yang sedang menjalani latihan di Akademi JDT. 

“Seramai 27 pelatih yang berusia 18 tahun ke atas dijangka bakal mendaftar sebagai pelajar UTM bagi mengikuti program ini secara sepenuh masa,” kata Prof Ts Dr. Nazri Ali. 

 

#MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor