PROJEK RUMAH HIJAU HIDROPONIK PERKASA PERANAN KOMUNITI
JOHOR BAHRU — Johor Corporation (JCorp) menerusi Yayasan JCorp dan Johor Land Berhad (JLand) melaksanakan Projek Rumah Hijau Hidroponik di Perjiranan 10, Bandar Dato’ Onn di sini.
Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani, berkata inisiatif ini adalah usaha kolektif antara pihaknya bersama JLand, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jawatankuasa komuniti untuk mewujudkan interaksi sosial dan pada masa sama mendokong hasrat kerajaan dalam keterjaminan makanan dan kelestarian alam sekitar.
“Menerusi projek yang dimulakan sejak dua tahun lalu dengan kawasan berkeluasan 700 kaki persegi itu turut dilengkapi sistem IoT (Internet of Things) di mana kira-kira 800 tanaman sayuran berdaun hijau dapat dikawal dan dipantau secara dalam talian.
“Kami berharap inisiatif mewujudkan projek rumah hijau hidroponik ini dapat merancakkan lagi aktiviti pertanian bandar dan mengoptimumkan penggunaan kawasan yang kosong di perjiranan ini supaya menjadi ianya lebih hijau dan lestari,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada Media Digital Johor.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Rumah Hijau Hidroponik kepada Persatuan Penduduk Perjiranan 10, Bandar Dato’ Onn yang disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif JLand, Mohd Yusof Ahmad selaku wakil rasmi Pengarah Bertanggungjawab JLand kepada Pengerusi persatuan berkenaan, Muhammad Najib Hassan.
Sementara itu, Pengarah Bertanggungjawab JLand, Zamri Yusof dalam kenyataan sama berkata, JLand kekal komited di dalam memperkasa komuniti dengan melestarikan persekitaran dan gaya hidup harmoni bersama alam semula jadi.
“Bagi menyokong misi ini, JLand telah mewujudkan Rumah Hijau Hidroponik yang juga dikenali sebagai ‘rumpunKITA’ sebagai salah satu inisiatif ESG untuk komuniti setempat”.
”Rumah hijau ini akan diperluaskan ke kawasan perjiranan lain yang dikendalikan oleh komuniti setempat selain pelbagai aktiviti menarik juga akan disusun bersama pihak Yayasan JCorp sebagai tanda sokongan kami ke arah kelestarian alam,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan inisiatif rumah hijau ini diuruskan secara sistematik, satu kursus Pengendalian Sistem Hidroponik IoT telah dianjurkan untuk 50 peserta dari kejiranan sama pada Januari lalu yang telah dikendalikan oleh Urban Farm Tech Sdn Bhd.
Katanya, Rumah Hijau Hidroponik ini telah menghasilkan lebih 100 kg sayuran seperti bayam, pak choy, sawi serta kangkung dan pada masa sama berjaya memberi manfaat kepada komuniti setempat.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor