PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA DI KOTA TINGGI DITUTUP
ISKANDAR PUTERI — Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Tinggi menempatkan 18 keluarga terdiri 72 mangsa banjir kilat, dilaporkan telah ditutup jam 10 pagi tadi.
Terdahulu, PPS Dewan Al-Barakah di Kota Tinggi dibuka pada jam 10 malam semalam, untuk menempatkan mangsa banjir kilat dari Kampung Sri Jaya dan Kampung Sri Delima.
Sementara itu, PPS Balairaya Kampung Batu Badak dan Balairaya Kampung Kuala Paya di Segamat masih lagi beroperasi.
Setakat jam 12 tengahari tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan PPS Balairaya Kampung Batu Badak menyaksikan pertambahan daripada lima kepada sembilan keluarga sekali gus menempatkan 30 orang dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 berbanding 17 orang sebelum ini.
Manakala, jumlah keluarga dan mangsa di PPS Balairaya Kampung Kuala Paya tidak berubah dengan satu keluarga dan empat orang mangsa.
Keseluruhan jumlah yang masih lagi berada di dua PPS di Segamat adalah 10 keluarga dan 34 mangsa setakat laporan jam 12 tengahari.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor