PELBAGAI INISIATIF YPKDT UNTUK RAKYAT – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 3.0 Ihsan Johor telah mewujudkan pelbagai inisiatif kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, di bawah Sektor Masyarakat dan Modal Insan, pelbagai inisiatif bagi Program Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling untuk rakyat Johor diwujudkan.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah mewujudkan perkhidmatan kaunseling atas talian secara percuma; menganjurkan webinar atau bengkel atau perkongsian ke arah kesihatan mental dan kaunseling secara percuma.

“(Selain itu) menyediakan Mobile Team dengan menyediakan van khas yang akan digunakan bagi mempromosi perkhidmatan kaunseling terutama di kawasan luar bandar; mewujudkan kumpulan sokongan dan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan NGO,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail yang meminta senarai program outreach diadakan YPKDT untuk mempromosi sesi kaunseling dan runding cara yang disediakan.

Khairin-Nisa berkata, inisiatif lain adalah Program Outreach oleh YPKDT untuk mempromosi sesi kaunseling dan runding cara antaranya Webinar Kesihatan Mental.

Selain itu, ujarnya, melaksanakan program anjuran jabatan dan program jemputan pihak luar dan juga sokongan moral kepada penerima manfaat di bawah YPKDT.

“(Selain itu) hebahan maklumat melalui pameran dan flyers; menyediakan 11 klinik kaunseling di seluruh daerah serta mengendalikan kes-kes kaunseling,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor