SKUAD SOFBOL WANITA JOHOR INTAI PINGAT EMAS
Pasukan sofbol wanita Johor berjaya menempah slot ke perlawanan akhir temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 selepas menewaskan Negeri Sembilan 14-3 di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Miri.
Persembahan cemerlang Johor terserlah apabila berjaya mengutip enam mata di innings pertama, tujuh mata di innings kedua dan satu mata di innings ketiga sekali gus mengesahkan perhitungan dengan Perak pada esok.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Nurulhuda A. Jabar, Ketua Jurulatih Sofbol Wanita Johor menyifatkan anak buahnya menyimpan taring dan menunggu masa untuk membalas dendam atas kekalahan 5-7 di tangan Perak dalam saingan peringkat kumpulan.
Nurulhuda turut optimis dengan kemampuan pasukannya menghadiahkan pingat emas sulung buat Johor dalam sukan sofbol sejak kali terakhir ia dipertandingkan dalam temasya SUKMA edisi ke-16 di Kuala Lumpur, pada tahun 2013.
Sementara itu, YB Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman, Timbalan Ketua Kontinjen I melaungkan keyakinan kontinjen Johor di Miri berupaya menjadi penyumbang utama pingat emas terutamanya menerusi sukan karate, pencak silat, dan ragbi.
#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor