SPR TERIMA PEMAKLUMAN KEKOSONGAN KERUSI PULAI, SIMPANG JERAM


Kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. | Foto ihsan Facebook Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia – SPR

 

ISKANDAR PUTERI — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hari ini, susulan penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia.

 

Setiausaha SPR, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pemakluman tersebut diterima daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.

 

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Fasa (5) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah memperuntukkan yang kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.161 Pulai dan Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

 

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 3 Ogos 2023,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.

 

Ikmalrudin berkata, mesyuarat khas tersebut bakal dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan.

 

Ujarnya, turut dibincangkan mengenai lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi terbabit.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya.

 

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyampaikan ucapan takziah daripada SPR kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang kembali ke Rahmatullah pada Ahad lalu.

 

“Semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor