SUKARELAWAN, MASYARAKAT ORANG ASLI GANDING BAHU KUTIP 1 TAN SAMPAH


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar menyertai program Johor Bersih Sungai Skudai di Kampung Orang Asli Bakar Batu hari ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Kira-kira satu tan sampah termasuk botol plastik, kain dan jala lama berjaya dikutip di Kampung Orang Asli Bakar Batu sempena program Johor Bersih Sungai Skudai, di sini, hari ini.

 

Radio usang ditemui semasa kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Lebih mengejutkan, gotong royong pembersihan lokasi yang berada di pesisiran Sungai Skudai dalam tempoh sejam itu turut menemui radio usang oleh peserta program.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, program Johor Bersih bukan sekadar menumpukan pelaksanaan di peringkat kerajaan tempatan di kawasan bandar.

 

 

”Agenda Johor Bersih ini sebenarnya luas. Ia bukan saja meliputi di kawasan bandar, jalan raya, tetapi pesisiran sungai juga menjadi fokus kerajaan negeri. Kita nak kurangkan jumlah pencemaran di sungai serta pastikan keadaan terkawal kerana ia (sungai) adalah sumber utama air kita.

 

”Ini (pembersihan di Sungai Skudai) adalah permulaan. Di sini, kita sudah berjaya kumpulkan sampah, penuh dua tong RORO dengan anggaran satu tan sampah telah dikutip,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor, di sini.

 

Raven Kumar juga mengakui berdepan dengan cabaran untuk melaksanakan program Johor Bersih di Sungai Skudai dan Sungai Tebrau berikutan pasang surut sungai.

 

“Untuk fasa pertama, kita akan memberi tumpuan penuh di Sungai Skudai. Banyak sampah di sini kerana fenomena air pasang. Bila air surut, memang akan beri kesan kepada jumlah sampah yang mendarat di sini.

 

”Saya ucapkan terima kasih kepada agensi yang terlibat pada hari ini. Kita ada Jabatan Kemajuan Orang Asli Johor (JAKOA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga pihak Southern Volunteers.

 

”Orang kampung juga terlibat sekali. Ini menunjukkan mereka ada rasa tanggungjawab untuk menjaga kebersihan di kawasan mereka,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor