SWM ENVIRONMENT BEROPERASI SEPERTI BIASA


SWM Environment akan beroperasi seperti biasa sepanjang sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi.

 

ISKANDAR PUTERI — SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan beroperasi seperti biasa sepanjang sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi.

 

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, tumpuan khusus diberikan kepada perkhidmatan kutipan sisa pukal, kebun dan barangan kitar semula.

 

Menurut beliau, langkah itu sebagai memenuhi keperluan masyarakat Cina yang sedang melaksanakan pembersihan dan persediaan di kediaman masing-masing.

 

“Orang ramai dinasihatkan untuk menempatkan sisa-sisa tersebut di tepi tong sampah beroda (TSB) atau di rumah sampah berpusat mengikut Jadual Kutipan 2+1 yang boleh dirujuk pada papan tanda jadual di kawasan perumahan atau di laman sesawang SWM Environment,” katanya.

 

Norlisam berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menguruskan sisa perayaan seperti mercun dan pelitup muka secara berhemah bagi memastikan keselamatan pekerja di lapangan terjamin.

 

Kata beliau, penduduk di kawasan perumahan juga diingatkan tidak meletakkan sebarang halangan seperti kenderaan di sepanjang laluan atau berhampiran tong sampah bagi melancarkan perkhidmatan kutipan sisa.

 

“Sempena sambutan Tahun Baru Cina, SWM Environment turut menggalakkan agar orang ramai menerapkan amalan sifar sisa dengan mempraktikkan nilai-nilai Kempen Hargai Makanan, Kurangkan Pembaziran di samping melaksanakan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca.

 

“Sisa yang telah dikenalpasti boleh dikitar semula boleh dihanyar ke lokasi sangkar KITARecycle terpilih atau dengan menghantar terus ke Pejabat Korporat SWM Environment Bandar Dato’ Onn dan Sireh Park, Iskandar Puteri,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor