LIMA PBT NEGERI JOHOR RAIH PENGIKTIRAFAN MIP


Lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor menerima pengiktirafan sempena Malaysia Institute of Planners (MIP) Planning Excellence Award 2022 di Kuala Lumpur, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor menerima pengiktirafan sempena Malaysia Institute of Planners (MIP) Planning Excellence Award 2022, semalam.

 

Kesemua PBT tersebut adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

 

MBJB merangkul Anugerah Emas bagi dua kategori iaitu Inclusive Design bagi projek Coronation Avenue (Pedestrian Connectivity Improvement Project in Downtown JB) dan Planning Service Excellence untuk projek GeoJB Portal (An Urban Manifestation).

 

Di samping itu, MBJB juga meraih Anugerah Perak bagi kategori Heritage and Conservation bagi projek The Ei8ht (The Conservation of 8 Shophouses).

 

MBIP menerima Anugerah Gangsa di bawah Kategori Low Carbon Planning untuk projek Iskandar Puteri Rendah Karbon (Build Agile Community and Sustainable Cities From Within).

 

MBPG pula menerima Anugerah Perak di bawah kategori Strategic Planning bagi Dokumen Rancangan Tempatan Pasir Gudang 2030 pada majlis penganugerahan tersebut.

 

MPM menerima dua pengiktirafan iaitu merangkul Anugerah Perak bagi kategori Inclusive Design bagi projek Muar Inklusif (Bandar Mesra Autisme) dan Anugerah Gangsa untuk kategori Community Based Planning dengan projek Nurseri Komuniti Titian Bakau Parit Kassim Laut, Muar.

 

Sementara itu, MPBP meraih Anugerah Perak di bawah Kategori Placemaking and Public Space bagi Projek Pemeliharaan dan Pemuliharaan Bangunan Warisan di Jalan Ibrahim, Batu Pahat.

 

Untuk makluman, majlis penganugerahan dianjurkan MIP itu bertujuan mengiktiraf usaha dilakukan pelbagai agensi terutamanya PBT dalam mendepani cabaran pembangunan perbandaran.

 

Ia juga memberi penghormatan kepada projek menunjukkan kecemerlangan dan inovasi dalam perancangan, reka bentuk dan pembangunannya yang membawa impak positif kepada orang ramai serta persekitaran keseluruhan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor