TAK ADA ISU KEKURANGAN BEKALAN BARANG KEPERLUAN PUN


Tinjauan MDJ di beberapa lokasi seperti kedai runcit, pasaraya dan pasar tani turut mendapati barang keperluan ini masih boleh ditemui dan dibeli dengan mudah. | Foto MDJ: Wira Anggara

 

“Setakat ini semua bekalan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya masih boleh didapati dengan mudah,” kata penduduk Pasir Gudang, Muhd Zaini, sekali gus menafikan dakwaan kekurangan bekalan barangan makanan yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

 

Hairan dengan dakwaan tidak berasas itu, Muhd Zaini berkata, pengamatannya di beberapa kedai runcit dan serbaneka berhampiran tempat kerja dan rumahnya masih mendapati semua barangan keperluan masih berada di rak jualan sebagaimana kebiasaannya.

 

“Setakat ini saya lihat keperluan asas ini sentiasa ada sahaja dijual di kedai runcit. Saya pun tak dengar tentang perkara ini (isu dakwaan kekurangan bekalan barang makanan).

 

“Saya baharu sahaja membeli beras jenama ‘Jasmine’ di kedai runcit dan stok (pelbagai jenama beras) masih ada. Saya pun ada juga singgah di kedai lain dan nampak macam semua bekalan ini ada sahaja,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor (MDJ) di sekitar Pasir Gudang, hari ini.

 

Tinjauan MDJ di beberapa lokasi seperti kedai runcit, pasaraya dan pasar tani turut mendapati barang keperluan ini masih boleh ditemui dan dibeli dengan mudah.

 

Bagi Morni Joseph Said, 49 pula, beliau mengakui semua barangan ini masih boleh didapati di sekitar kawasan C ini.

 

“Setakat ini saya lihat situasi normal kerana tidak susah untuk mendapatkan barangan keperluan ini cuma dari sudut pengguna, saya nampak macam ada sedikit kenaikan harga barang.

 

“Cuma apa yang saya perasan, penjual kini seperti mengehadkan kuantiti pembelian terhadap barangan keperluan seumpama ini. Bagus juga, kalau tak orang lain buat pembelian panik akibat terpengaruh dengan berita palsu ini, ramai penduduk lain akan terjejas,” katanya.

 

Bagi penjual telur, Nor Azlina Abd Rahman, 43, berkata bekalan telur ayam ini sentiasa mencukupi kerana sentiasa menerima penghantaran daripada pihak pembekal dari Isnin hingga Sabtu.

 

“Setakat ini bekalan telur sentiasa ada. Cuma buat masa ini saya hanya dapat menjual telur dari gred C sahaja kerana stok telur untuk gred A dan B akan kurang, namun ia tidak menjejaskan jualan perniagaan saya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor