‘PERFECT 10’ BUKTI JDT PENERAJU BOLASEPAK


Pesta Bunga Api yang telah menjadi lumrah untuk sambutan kemenangan liga Kelab Bolasepak JDT.

“Kejayaan dicapai apabila seseorang itu menangguhkan kesenangan pada masa kini untuk mengusahakan matlamat jangka panjang,” titah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada 27 Januari 2015.

Seperti mana fasa perjalanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dicanang, seperti itu juga tertulis segala yang berlaku mengikut apa yang dirancang. JDT tidak akan menoleh ke belakang. Malah terus-menerus melakar sejarah berulang-ulang. Pelbagai piala telah pun JDT julang. 

JDT merupakan peneraju dalam kancah bola sepak negara. Sejak tahun 2013, selepas pengambil alihan tampuk kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, kelab bola sepak JDT terus menerus melakar sejarah dan mencipta rekod baharu daripada pelbagai sudut. Kejayaan ini juga bukan sahaja di dalam padang, malah kelab bola sepak JDT turut membina nama di luar padang.

JDT adalah satu-satunya kelab bola sepak yang telah meletak satu tanda aras yang tinggi. Mentaliti menang yang diterapkan sentiasa menjadi motivasi kelab. Ini telah membuah hasil bagi kelab bola sepak JDT mencipta ‘double hattrick’ kejuaraan liga pada tahun 2019 dan ‘triple hattrick’ pada tahun 2022. Pencapaian yang agak sukar dicabar bagi mana-mana pasukan lain. 

Kelab bola sepak pertama negara dan satu-satunya kelab bolasepak dari Asia Tenggara yang muncul juara Piala AFC. Untuk rekod domestik JDT sudah merangkul 9 piala Liga Super, 8 Piala Sumbangsih, 3 Piala FA dan 3 Piala Malaysia terpampang dalam ‘gerobok’ piala. 

Tanya semula pada peminat, kelab bola sepak mana dalam negara yang menamatkan kempen liga tanpa kalah. Bukan sekali, tetapi JDT berjaya menamatkan kempen liga sebagai ‘unbeaten’ pada tahun 2016, tahun 2020 dan tahun 2022.

JDT semakin hampir untuk ditabalkan sebagai juara Liga Super Malaysia bagi musim ini. JDT hanya memerlukan satu mata daripada baki lima perlawanan liga. Kejayaan ini sekali gus membuat JDT sebagai satu-satunya kelab bola sepak yang memenangi rekod 10 kejuaraan liga super berturut-turut.

Sedekad mendominasi bukti JDT peneraju bola sepak negara. Wahai penyokong, di manakah anda dalam sejarah bola sepak Johor? 

#MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor