TEATER CERITERA RAKYAT KETENGAH BAKAT CILIK JOHOR


Antara babak teater Ceritera Rakyat menghiburkan yang dipersembahkan oleh bakat cilik Johor. | Foto ihsan Yayasan Warisan Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Pementasan teater Ceritera Rakyat di bawah Program Serumpun Sandiwara selama dua hari di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, dekat Johor Bahru, mengangkat kisah dongeng turun temurun dalam persembahan yang menghiburkan.

 

Teater berlangsung pada 23 dan 25 Jun itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu buat julung kalinya berkolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

 

Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, teater Ceritera Rakyat itu merupakan karya dan arahan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perling, Azri Azmi Abd Aziz.

 

Menurutnya, pementasan berlangsung selama satu jam 40 minit itu berkonsepkan teater kanak-kanak bergenre komedi.

 

“Teater ini bertujuan untuk menghibur di samping mengetengahkan bakat cilik Johor dalam bidang teater dan seni kreatif seawal 8 hingga 17 tahun. Pementasan teater ini juga menggabungkan 26 sekolah yang melibatkan 36 guru dan 52 pelajar.

 

“Selain itu, pementasan teater yang melibatkan penglibatan penggiat teater seni tari dan seni suara ini turut memberikan pendedahan kepada generasi muda dalam memahami konteks cerita rakyat atau cerita dongeng yang diwarisi sejak zaman berzaman,” katanya.

 

Sharil Nizam berkata, kerjasama strategik antara Badan Kerajaan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) amat digalakkan bagi memastikan setiap program dilaksanakan memberi nilai dan impak positif kepada masyarakat serta penggiat seni secara keseluruhannya.

 

“Bagi melahirkan insan yang holistik, penglibatan di dalam pementasan teater seperti ini mampu meningkatkan tahap keyakinan dalam diri pelajar ketika berada di khalayak ramai.

 

“Di samping itu, ia dapat menjadi platform buat mereka menonjolkan bakat sedia ada kepada satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor