TEKNIK MAN+MAN+MACHINE LONJAK FELDA TUNGGAL


Kegigihan warga Felda Tunggal, Kota Tinggi berbaloi apabila diiktiraf Ladang Cemerlang Felda 2022 / Gambar Ihsan Felda Wilayah Johor Bahru.

 

KOTA TINGGI — Kekurangan tenaga buruh ternyata tidak menjadi batu penghalang untuk meraih hasil perladangan yang tinggi asalkan ada usaha dan keyakinan yang tinggi.

Itulah yang dibuktikan oleh masyarakat peneroka di Felda Tunggal, Kota Tinggi yang berjaya meraih hasil sawit melebihi 30 tan meskipun berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja.

Lebih manis lagi, hasil kegigihan itu akhirnya berbaloi apabila Felda Tunggal turut diiktiraf sebagai Ladang Cemerlang 2022.

Menelusuri semula perkembangan tanah rancangan berkenaan sebelum ini, Felda Tunggal telah pun mencapai hasil sebanyak 30 tan pada 2017 namun ketika itu hanya membabitkan lima blok di satu peringkat sahaja.

Mengikut kenyataan di laman Facebook rasmi Felda Wilayah Johor Bahru, pada 2020, Felda Tunggal terus mencapai hasil yang lebih memberangsangkan iaitu melebihi 30 tan membabitkan sembilan blok di satu peringkat.

Bermula Januari tahun lalu, peneroka Felda Tunggal menyahut cabaran untuk menggunakan teknologi mekanisasi sebagai langkah penyelesaian masalah kekurangan buruh.

Hasilnya menyebabkan 15 blok di tanah rancangan terbabit berjaya mencapai hasil melebihi 30 tan membabitkan dua peringkat, sekali gus dinobatkan sebagai Ladang Cemerlang 2022.

Terdahulu, Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh turut melakukan lawatan ke Felda Tunggal bagi menyaksikan sendiri usaha yang dilakukan oleh masyarakat Felda di kawasan berkenaan.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri dan Pengarah Felda Wilayah Johor Bahru, Muhammad Fadzli Hasan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor