KERAJAAN JOHOR KOMITED BANTU USAHAWAN MELALUI PELBAGAI INISIATIF


EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah menziarahi premis usahawan belia di Kampung Melayu Majidee, semalam. / Foto ihsan: Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited mengusaha dan merangka inisiatif bagi membantu usahawan di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah.

 

Selain itu, beliau juga akan terus mempergiat dan memperhebatkan hebahan serta penyampaian maklumat serta segala jenis bentuk bantuan yang disediakan agensi dan jabatan kepada makluman semua untuk manfaat bersama.

 

Terdahulu, Mohd Hairi meluangkan masa meninjau dan melihat sendiri premis-premis diusahakan usahawan kecil di Jalan Sahabat, Kampung Melayu Majidee, dekat Johor Bahru.

 

“Bulan Ramadan ini sememangnya memberi peluang kepada usahawan-usahawan khususnya usahawan kecil dan sederhana menjana pendapatan tambahan. Namun, cabaran dan dugaan perniagaan itu tetap ada.

 

“Insya Allah, permohonan-permohonan yang dimohon dan disuarakan pengusaha-pengusaha kecil yang saya ziarah tadi akan dibantu dan disegerakan bagi tindakan lanjut,” katanya.

 

Beliau akui bangga melihat anak muda mengusahakan perniagaan kecil khususnya di kawasan Kampung Melayu, apatah lagi tenaga kerja yang digunakan juga adalah daripada anak-anak tempatan di kawasan tersebut.

 

“Selepas ini dalam dua ke tiga hari saya akan melakukan ziarah dan meninjau pula peniaga-peniaga di kawasan Larkin dan Bandar Baru Uda bagi melihat sendiri keadaan usahawan kecil di kawasan ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor