TINDAKAN PROAKTIF ATASI GANGGUAN BEKALAN AIR MUSIM PERAYAAN


Ranhill SAJ komited memastikan bekalan air mencukupi untuk kegunaan pengguna sempena Aidilfitri ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ) komited memastikan bekalan air mencukupi untuk kegunaan pengguna sempena Aidilfitri ini, terutama melibatkan kawasan bertekanan rendah dan berhadapan kekurangan bekalan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, antara tindakan diambil adalah menyediakan pam dan set penjana tambahan di Loji Rawatan Air (LRA).

 

Menurutnya, syarikat penyedia bekalan air Johor itu juga menyediakan lori tangki bergerak dan tangki statik terutama di kawasan yang tidak menerima bekalan air secara langsung dari LRA.

 

“Tahun ini kita ambil langkah yang jauh lebih proaktif. Kita adakan satu mesyuarat ‘task force’ pelan mitigasi untuk pastikan sama ada bekalan elektrik dan juga bekalan air mencukupi untuk kegunaan semasa perayaan.

 

“Kita doakan tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku. Dari segi persiapan (telah dilakukan) pihak Ranhill SAJ dan kerajaan negeri, sepatutnya bekalan air mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng, dekat Kota Tinggi, semalam.

 

Bagi mengatasi isu tekanan rendah dan kekurangan bekalan air di FELDA Lok Heng dan FELDA Waha, Mohamad Fazli berkata, Ranhill SAJ menyediakan pam dengan kapasiti sehingga 9 juta liter sehari (MLD) selain set penjana tambahan bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan.

 

“Dengan usaha yang dilakukan ini, kita dapat memenuhi keperluan hari raya bagi lebih kurang  20,490 pengguna yang dijangka balik berhari raya,” katanya.

 

Ujarnya, tindakan sama juga diambil bagi LRA Air Panas C di Labis, dekat Segamat dan LRA Layang 2, dekat Johor Bahru.

 

Beliau memaklumkan kawasan yang mengalami tekanan rendah dan gangguan merupakan lokasi pedalaman, berada di hujung sistem bekalan air serta berbukit.

 

“Jika berlaku sebarang (kejadian) di luar jangka seperti paip pecah dan sebagainya, kita akan guna mitigasi pelan yang lain iaitu penghantaran melalui ‘tanker’ dan tangki statik.

 

“Sepatutnya tidak menghadapi masalah, cuma semasa musim perayaan penggunaan meningkat berkali ganda. Apabila terlalu banyak penggunaan pada masa-masa tertentu, itu yang tekanan air rendah dan juga bekalan air tidak mencukupi,” katanya.

 

Sempena perayaan Aidilfitri tahun ini, Ranhill SAJ menyediakan 28 lori tangki bergerak di Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Pontian diikuti menempatkan  275 tangki statik di lokaliti terpilih di seluruh Johor; 19 tangki statik mudah alih sedia digerakkan dan 11 penjana disewa khas bagi sokongan LRA utama.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor