‘TOWNHALL’ JADI PLATFORM MANTAPKAN EKOSISTEM EKSPORT PERTANIAN JOHOR

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir menyertai sesi libat urus bersama pengeksport hasil pertanian Negeri Johor di Trove Hotel, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Kerajaan Johor komited untuk terus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab eksport hasil pertanian yang berdaya saing, sekali gus menjayakan hasrat sebagai ‘Food Basket’ kepada Malaysia dan ‘Food Bank’ untuk negara serantau serta antarabangsa.

 

Usaha berkenaan diterjemah menerusi sesi libat urus Kerajaan Negeri bersama 40 peserta yang terdiri daripada 30 pengeksport, enam pemasar dan empat pengeluar dalam usaha mengenal pasti isu dan cabaran semasa bagi memantapkan lagi ekosistem eksport pertanian negeri secara mampan dan berdaya saing serta pada masa sama dapat meningkatkan pendapatan petani serta pengusaha dalam sektor berkenaan.

 

Justeru, sesi libat urus berkenaan juga turut menjadi platform perbincangan dua hala antara Kerajaan Johor, agensi dan jabatan Persekutuan bersama pengeksport hasil pertanian di seluruh negeri ini bagi memberi ruang kepada pemain industri untuk menyuarakan pandangan serta mengenal pasti isu dan cabaran dihadapi golongan usahawan dalam bidang pertanian.

 

Ia bagi menjayakan hasrat Kerajaan Johor dalam penetapan sasaran baharu terhadap peningkatan pengeluaran hasil menjelang tahun 2027 dengan 33.6 peratus disasarkan bagi tanaman buah-buahan; sayuran (33.46 peratus), sektor akuakultur (62 peratus) serta ternakan dan ruminan (34 peratus).

 

Untuk rekod, Johor muncul antara negeri peneraju dan penyumbang utama dalam sektor pertanian negara pada tahun 2024 dengan sumbangan bernilai RM17.21 bilion atau 17.1 peratus daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor pertanian nasional.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir menyertai sesi libat urus bersama pengeksport hasil pertanian Negeri Johor di Trove Hotel, Johor Bahru, hari ini.

 

#WTN
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor