TUNKU MAHKOTA ISMAIL PEMANGKU SULTAN JOHOR BERJIWA RAKYAT


Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor dalam Istiadat yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

 

Berjiwa rakyat, praktikal dan berwawasan. Itulah gambaran keperibadian DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang menjadi kebanggaan Bangsa Johor dari segenap ceruk negeri ini. Diputerakan pada 30 Jun 1984, putera sulung daripada enam adik beradik ini sejak dari kecil memiliki kepemimpinan yang bitara, suatu nilai yang mewarisi turun temurun daripada Seri Paduka nendanya, Almarhum Sultan Iskandar serta ayahandanya, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor.

 

Lebih sedekad dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut mewarisi sifat sopan dan sering mencemar duli menyantuni rakyat serta mengurniakan sumbangan peribadi yang mencerminkan sifatnya yang berjiwa rakyat. Untuk rekod, sejak tahun 2018, Baginda Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menitik beratkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat telah berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan terutama golongan rentan dan memerlukan di daerah-daerah selain bantuan kepada hospital, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa bermusim.

 

Selain itu, sifat kasih tiada tolok bandingnya ini juga terlihat ketika DYAM Tunku Mahkota Ismail mengurniakan sumbangan kepada rakyat yang terjejas dengan wabak COVID-19 bagi meringankan beban dihadapi di samping kurniaan sumbangan daging korban ketika Hari Raya Aidiladha. Begitu juga kerendahan dan kemuliaan hati Baginda Pemangku Sultan Johor bersama Keluarga DiRaja Johor yang berkenan menyantuni rakyat jelata di 10 daerah di negeri ini, ketika mengetuai Kembara Mahkota Johor pada tahun lalu.

 

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Utama dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru, DYAM Tunku Mahkota Ismail kemudiannya melanjutkan persekolahan di Australian International School Singapore sebelum ke Hale School, Perth, Australia pada tahun 1999. Maka tidak hairan, Baginda Pemangku Sultan Johor senantiasa memberikan penekanan terhadap pendidikan di Negeri Johor sebagai aspek yang amat signifikan demi memartabatkan generasi Bangsa Johor.

 

 

Keprihatinan DYAM Tunku Mahkota Ismail terhadap aspek pendidikan Bangsa Johor turut dapat dilihat menerusi kurniaan komputer riba berspesifikasi tinggi kepada pelajar dari keluarga e-Kasih dan asnaf yang memberikan manfaat kepada penerima dalam memenuhi keperluan pembelajaran terutama ketika pandemik COVID-19 melanda dunia dan negara yang menuntut proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) dilaksanakan secara dalam talian.

 

 

Berpengalaman luas dalam bidang ketenteraan selepas menjalani pelbagai latihan termasuklah di India, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah diasuh dengan disiplin yang tinggi sekali gus ia diterjemahkan dalam aspek pengurusan antaranya ketika mengemudi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pemiliknya sehingga berjaya melakar pelbagai kejayaan di dalam mahupun di luar padang sama ada di peringkat domestik malah antarabangsa.

 

 

Sehingga kini, terlalu banyak juga sumbangan daripada Pemangku Sultan Johor terhadap arena dan ekosistem sukan bola sepak negara. Kemurahan hati DYAM Tunku Mahkota Ismail telah membanyak membantu meningkatkan kualiti skuad Kebangsaan dan perkembangan kemajuan arena bola sepak tanah air. Dan ini termasuklah kurniaan RM300,000 bagi penyelenggaraan padang kepada setiap pasukan yang menerima geran Kementerian Belia dan Sukan bagi pembinaan padang serta sistem perparitan baharu yang berkualiti.

 

Bagaimanapun, minat yang mendalam terhadap sukan bukan hanya dizahirkan dalam bola sepak, sebaliknya Pemangku Sultan Johor juga cemerlang dalam sukan polo dengan penyertaan pelbagai pertandingan dalam dan luar negara. Antara kejayaan pernah diraih DYAM Tunku Mahkota Ismail adalah membantu pasukan polo Rejimen 61st Calvary di India selain pencapaian berprestij dunia bersama pasukan Johor-Ellerstina bersama adindanya, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.

 

 

Begitu juga dengan cetusan idea dan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail terhadap penubuhan gerakan sukarelawan secara besar-besaran iaitu Southern Volunteers yang telah memainkan peranan cukup besar dalam membantu rakyat yang ditimpa bencana dan musibah. Malah ketokohan Pemangku Sultan Johor yang menjadi ‘role model’ kepada belia di negeri ini, juga berjaya menggerakkan Orang Muda Johor ke suatu aras yang membanggakan dengan pelbagai pencapaian positif.

 

Kesemua ini jelas membenarkan ungkapan ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ di mana Raja diibaratkan sebagai ‘pohon’ yang memayungi rakyat selaku ‘akar’ yang menguatkan institusi DiRaja. Tidak terkecuali berperanan sebagai ‘check and balance’ dalam demokrasi pemerintahan negeri, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang mewarisi ketokohan kepemimpinan daripada nenda dan ayahandanya sentiasa mahu memastikan kemakmuran dan kestabilan negeri memberikan limpahan manfaat kepada Bangsa Johor.

 

 

Hari ini, kegemilangan Kesultanan Johor telah melakar satu lagi detik bersejarah dengan pelantikan Waris Takhta Kerajaan Johor ini sebagai DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selama DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor yang akan menjalankan tanggungjawab KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 berkuat kuasa 31 Januari 2024. Allah Peliharakan Sultan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor