UNIVERSITI PERLU BINA SAHSIAH, NILAI MURNI GENERASI MASA DEPAN

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen Ke-10 Universiti Reading Malaysia, di Hotel Renaissance, Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu terus memainkan peranannya sebagai tempat untuk melahirkan graduan berkualiti yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah memiliki sahsiah, nilai moral serta jati diri yang kukuh.
Titah saranan itu dizahirkan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selepas Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Psikologi daripada Universiti Reading Malaysia, hari ini.
Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Psikologi itu dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong oleh Paul Lindley OBE, Canselor Universiti Reading Malaysia pada Majlis Konvokesyen ke-10 universiti berkenaan.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bertitah, tanggungjawab institusi pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga perlu berfungsi sebagai institusi yang berupaya membentuk insan yang berakhlak, berempati dan mempunyai keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.
Titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, kemajuan sesebuah masyarakat tidak hanya bergantung kepada pencapaian intelektual semata-mata, sebaliknya ia juga turut dipacu nilai belas ihsan, empati dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut menegaskan bidang psikologi kini menjadi semakin penting dalam membantu masyarakat memahami tingkah laku manusia, motivasi, daya tahan dan hubungan sesama insan bagi membina komuniti yang lebih harmoni.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, selain menyifatkan stigma menyebabkan ramai memilih untuk memendam masalah berbanding mendapatkan bantuan profesional.
Justeru, universiti perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran teknikal, malah memiliki pertimbangan yang baik, nilai moral serta integriti tinggi dalam mendepani cabaran dunia yang semakin dipengaruhi teknologi.
Terdahulu, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen Ke-10 Universiti Reading Malaysia, di Hotel Renaissance, Johor Bahru, hari ini.
Turut hadir, YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
#InstitusiDirajaJohor
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


