JOHOR BINCANG TEROKA PASARAN KEMBOJA


Pertemuan EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah bersama Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, semalam. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Pertemuan EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah bersama Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, membuka ruang perbincangan mengenai portfolio di bawahnya.

 

Pelbagai perkara dibincangkan bersama berkaitan hubungan dua hala antara Johor dengan Phnom Penh melibatkan soal belia, sukan, pembangunan usahawan, koperasi dan sumber manusia dalam pertemuan selama satu jam, semalam.

 

Mohd Hairi berkata, antara perkara diberikan tumpuan adalah peluang perniagaan yang boleh diterokai rakyat Johor di Kemboja di mana Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) telah diminta bekerjasama erat dengan pihak kedutaan.

 

“Saya yakin PUJB juga boleh melihat kerjasama ini sebagai peluang dan ruang bagi menjayakan insiatif ‘Go Global’ buat usahawan-usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Johor.

 

“Saya turut dimaklumkan masih banyak produk atau perniagaan yang berpotensi dan masih belum ditembusi di pasaran Kemboja,” katanya.

 

Selain itu, beliau memaklumkan akan meneliti dan memperhalusi bersama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan kolaborasi bagi memenuhi keperluan Kemboja mendapatkan khidmat jurulatih silat profesional.

 

Dalam pertemuan tersebut, Mohd Hairi mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja yang banyak membantu dalam misi membawa pulang tujuh anak Johor pada Oktober tahun lalu.

 

Beliau memberitahu telah menerima gambaran lebih jelas mengenai insiden pemerdagangan manusia dan sindiket penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia termasuklah warga Johor daripada pihak kedutaan.

 

“Selepas mendengar penjelasan daripada Kedutaan Malaysia di sini, gambaran lebih jelas dapat saya lihat di mana berlaku juga kes atau penipuan daripada pekerja-pekerja dari Malaysia yang mahu lari atau melanggar kontrak perjanjian atau surat tawaran yang sudah ditandatangani.

 

“Sehubungan itu, saya turut mengingatkan semua rakyat di Johor khususnya belia untuk meneliti dan fikir masak-masak dengan tawaran pekerjaan sebelum menandatangani kontrak atau surat penawaran kerja bagi mengelak berlaku permasalahan lain,” katanya.

 

Terdahulu, Mohd Hairi ditemani delegasi dari Johor antaranya Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ ‘On Jabbar serta Pengarah MSNJ, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak ke Kemboja bagi menyokong kontinjen Malaysia terutama atlet Johor yang berjuang dalam temasya Sukan SEA 2023.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor