J-SAFE MAMPU TANGANI BULI, SEKOLAH LEBIH SELAMAT

Pendekatan yang lebih menyeluruh, tegas dan terselaras terus diperkasakan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu disiplin serta keselamatan murid menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pencegahan dan intervensi awal di sekolah. / Foto Nurina Aisyah MDJ
#IskandarPuteri – Pendekatan yang lebih menyeluruh, tegas dan terselaras terus diperkasakan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu disiplin serta keselamatan murid menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pencegahan dan intervensi awal di sekolah.
Usaha itu akan memberi tumpuan kepada tiga faktor utama yang mempengaruhi tingkah laku pelajar dan keselamatan sekolah, iaitu penyalahgunaan bahan terlarang termasuk dadah, buli serta isu kesihatan mental yang memerlukan pendekatan tindakan yang lebih bersepadu merangkumi pencegahan, pengesanan awal, intervensi dan tindakan susulan.
Berdasarkan statistik Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sehingga 30 September 2026, sebanyak 773 kes buli telah direkodkan di seluruh negeri ini, melibatkan 208 orang murid di 165 daripada 1,198 sekolah. Jumlah tersebut menunjukkan isu buli masih memerlukan perhatian yang serius serta tindakan pencegahan dan pemantauan secara berterusan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melengkapkan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan JPN Johor melalui Kempen Sekolah Selamat Negeri Johor menerusi pendekatan J-SAFE bagi memperkukuh penyelarasan, pencegahan dan penglibatan komuniti.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah ‘J-SAFE ACTION’ yang menyediakan instrumen sokongan digital kepada pihak sekolah merangkumi panduan tindakan, senarai semak, dokumentasi serta saluran rujukan kepada pihak berkaitan.
Selain itu, ‘J-SAFE SMART Youth Movement’ turut diperkenalkan bagi memperkasa murid sebagai rakan strategik dalam membentuk budaya sekolah yang selamat, di samping menggalakkan pengaruh rakan sebaya yang positif.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut menggerakkan Focus Group Discussion (FGD) Sekolah Selamat Negeri Johor dengan melibatkan pihak pendidikan, agensi kerajaan, penguat kuasa, komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelaras penyelesaian secara menyeluruh.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada aspek pencegahan buli dan penyalahgunaan bahan terlarang, kebajikan murid, keselamatan fizikal dan digital, mekanisme rujukan serta tindakan susulan antara agensi.
Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama bersama KPM, JPN Johor, pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap murid mendapat perlindungan serta sokongan sewajarnya dalam persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib bin Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menjawab soalan berkaitan disiplin dan keselamatan sekolah pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#BelanjawanJohor2027
#JSAFE
#SekolahSelamat
#PendidikanBangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



