80 BEG DARAH BERJAYA DIKUMPULKAN
ISKANDAR PUTERI — Program Kempen Derma Darah Dan Derma Organ 2023 anjuran Klinik Majlis Bandaraya Pasir Gudang di bawah Jabatan Kesihatan Awam, Persekitaran dan Pelesenan, baru-baru ini, mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Program tersebut dijayakan dengan kolabrasi Unit Tranfusi Perubatan dan Unit Perolehan Organ dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).
Memetik siaran dimuat naik dari Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), seramai 16 anggota kesihatan HSAJB terlibat bagi memastikan program itu berjalan lancar dan berjaya mencapai sasaran ditetapkan.
“Sebanyak 80 paket darah telah dapat dikumpulkan melalui 80 orang yang telah sudi menderma darah melalui program ini.
“Manakala seramai enam orang telah mendaftar ikrar derma organ yang terdiri daripada pelbagai bangsa hadir dimana ianya telah melepasi sasaran yang ditetapkan.
“Secara keseluruhannya kempen ini telah dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya,” jelas MBPG dalam siaran tersebut.
MBPG menzahirkan harapan program dianjurkan dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan orang ramai tentang kepentingan menderma darah dan organ.
“(Selain itu) membantu pihak hospital tempatan untuk mendapatkan lebih ramai penderma darah dan organ terutamanya di kawasan setempat serta meningkatkan jumlah penderma dan juga bekalan darah dalam tabung darah HSAJB supaya dapat digunakan dalam masa kecemasan,” jelas MBPG.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor